
RAWANG, 1 Mei – Datuk Seri Aminuddin Harun akan terus kekal melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, sebagaimana titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
- Perdana Menteri menyeru semua pihak hentikan kemelut dan tumpukan usaha pemulihan ekonomi demi kepentingan rakyat.
- Nasihat disampaikan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan dan pimpinan UMNO supaya berunding tetapi jangan gugat pemulihan ekonomi.
- Perdana Menteri mengulangi pentingnya menjaga kepentingan rakyat berbanding perebutan kuasa ketika krisis ekonomi.
- Pengerusi BN mengesahkan 14 ADUN BN Negeri Sembilan kekal bersama Kerajaan Perpaduan untuk memelihara kestabilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak perlu menghentikan kemelut dan terus menumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi demi kepentingan rakyat.
“Kita ikut titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, minta Menteri Besar teruskan tugas tadbir negeri, dalam keadaan krisis ekonomi begini, tumpu itu lah, nak rebut apa lagi, tunggu lah sekejap.
“Saya dah nasihat dan telah sampaikan kepada kawan-kawan dalam Pakatan Harapan dan sampaikan juga kepada pimpinan UMNO. Kita boleh berunding tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kesemua 14 ADUN BN di Negeri Sembilan bersepakat untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan, sekali gus memastikan kestabilan terus terpelihara.