
KUALA LUMPUR, 16 Mac – Urusan di kaunter Lembaga Tabung Haji kini lebih mudah dan pantas dengan pengenalan sistem giliran digital yang dikenali sebagai TH Digital Queue.
- Pelanggan boleh memantau nombor giliran terus melalui telefon pintar tanpa perlu beratur panjang di kaunter.
- Pelanggan imbas kod QR untuk menerima nombor giliran di telefon pintar sebelum berurusan di kaunter.
- Dilaksanakan di semua cawangan sebagai langkah pemerkasaan digital untuk pengalaman pelanggan lebih lancar.
- Termasuk Indeks Kepuasan Pelanggan, e-borang maklum balas, dan maklumat penting untuk pendeposit.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memaklumkan pelanggan boleh memantau nombor giliran terus melalui telefon pintar tanpa perlu beratur panjang di kaunter.
Sistem tersebut telah diperkenalkan di semua cawangan bermula 15 Mac lalu, sejajar dengan pemerkasaan digital TH untuk pengalaman pelanggan yang lebih lancar.
“Melalui inisiatif ini, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR untuk menerima nombor giliran di telefon pintar sebelum berurusan di kaunter. Ini membolehkan mereka menguruskan masa dengan lebih sistematik serta memantau giliran dari mana-mana sahaja,” menurut TH dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Selain itu, sistem tersebut turut dilengkapi fungsi Indeks Kepuasan Pelanggan, e-borang maklum balas, dan maklumat penting untuk pendeposit.
Dengan sistem tersebut, urusan di kaunter TH kini lebih mudah, cepat dan efisien, sejajar dengan inisiatif digitalisasi TH di seluruh negara.