
KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu perlu meneruskan agenda pembangunan negeri serta memastikan setiap pelaburan yang dibawa mampu diterjemahkan kepada lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat, khususnya golongan muda.
- Mengekalkan momentum pembangunan serta menterjemah hasrat rakyat kepada dasar dan tindakan yang berkesan.
- Menilai kejayaan bukan semata-mata berdasarkan jumlah FDI, tetapi penjanaan pekerjaan jangka panjang dan negeri inklusif.
- Memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan sambil mengekalkan kestabilan Persekutuan.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Universiti Selangor (UNISEL), Prof. Madya Dr. Hamdan Mohd Salleh berkata, cabaran utama pentadbiran baharu adalah mengekalkan momentum pembangunan serta menterjemahkan hasrat rakyat kepada dasar dan tindakan yang berkesan.
“Cabaran paling besar ialah mengekalkan momentum politik pembangunan dan prestasi pembangunan. Semua parti yang bertanding telah turun padang mendengar keluhan, hasrat dan impian rakyat. Kini kerajaan baharu perlu menterjemahkan semua itu kepada tindakan,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Menurut beliau, Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai negeri yang lebih berdaya saing memandangkan kedudukannya yang berhampiran Lembah Klang, sekali gus mampu menarik lebih banyak pelaburan.
Bagaimanapun katanya, kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) semata-mata.
“Yang paling penting bukan hanya jumlah FDI, tetapi bagaimana pelaburan itu mampu mencipta pekerjaan jangka panjang kepada anak-anak muda dan melahirkan sebuah negeri yang inklusif serta sejahtera,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau berkata keputusan itu menjadi manifestasi kepada mesej yang disampaikan rakyat dan perlu dijadikan panduan oleh kerajaan negeri dalam merangka dasar yang lebih responsif terhadap keperluan masyarakat.
Beliau juga berpandangan, politik identiti masih mempengaruhi corak pengundian di beberapa kawasan, namun kerajaan negeri perlu memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi harapan rakyat.
Jelasnya lagi, kestabilan kerajaan di peringkat Persekutuan perlu terus dipelihara bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan dan negara mampu berdepan cabaran ekonomi serta geopolitik global.