
SEREMBAN, 2 Ogos – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Sabtu berlangsung lancar dengan situasi keselamatan dan ketenteraman awam kekal berada pada tahap baik serta terkawal.
- Sepanjang hari pengundian, 12 laporan polis diterima.
- Satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan ugutan dan pengaruh tidak wajar.
- Bagi keseluruhan tempoh kempen, PDRM menerima 104 laporan polis dan membuka 25 kertas siasatan.
- Kesesakan di Seremban, Jelebu dan Kuala Pilah; anggota trafik ditempatkan dan PLUS membuka semua lorong tol bagi melancarkan aliran trafik.
Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata, sepanjang hari pengundian sebanyak 12 laporan polis diterima.
Manakala, satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membabitkan kes ugutan jenayah serta pengaruh tidak wajar terhadap pengundi atau calon semasa tempoh pilihan raya.
Bagi keseluruhan tempoh kempen bermula 18 Julai hingga 1 Ogos, PDRM menerima 104 laporan polis dan membuka 25 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.
Sepanjang hari pengundian, kesesakan lalu lintas turut dilaporkan di beberapa laluan utama di daerah Seremban, Jelebu dan Kuala Pilah berikutan pertambahan jumlah kenderaan serta lokasi
pusat mengundi yang berhampiran jalan utama.
Bagi memastikan aliran trafik lancar, anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ditempatkan di lokasi tumpuan, selain kerjasama PLUS yang membuka semua lorong di plaza tol terlibat bagi mengurangkan kesesakan.
PDRM turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kerjasama serta pematuhan terhadap undang-undang sepanjang proses pilihan raya dan akan terus menjalankan pemantauan serta penguatkuasaan sehingga keseluruhan proses PRN Negeri Sembilan ke-16 selesai.