IJM komited minimumkan gangguan trafik sepanjang pembinaan NPE 2

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai

SUBANG JAYA, 2 Ogos – IJM Corporation Berhad komited melaksanakan langkah pengurusan trafik bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya sepanjang pembinaan projek sambungan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) 2.

RINGKASAN BERITA AI
  • IJM komited melaksanakan langkah pengurusan trafik untuk meminimumkan gangguan kepada pengguna sepanjang pembinaan NPE 2.
  • Keadaan jalan sempit dan kekurangan bahu jalan memerlukan kerja pembinaan dilaksanakan dengan teliti untuk mengurangkan gangguan trafik.
  • Projek dijangka memendekkan masa perjalanan dari Pantai Dalam ke pusat bandar sekurang-kurangnya 15 minit; siap dijangka Oktober 2029.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, keadaan jalan yang sempit dan kekurangan bahu jalan menyebabkan pembinaan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi mengurangkan gangguan trafik kepada pengguna.

“Bagaimanapun, kami akan mencuba sedaya upaya untuk mengurangkan kesukaran kerana projek ini akhirnya akan memberi manfaat besar kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2026, hari ini.

Menurut beliau, NPE 2 dijangka memendekkan masa perjalanan dari Pantai Dalam ke pusat bandar sekurang-kurangnya 15 minit apabila siap kelak.

“Setakat ini, kerja pembinaan telah dimulakan di beberapa seksyen, manakala proses pengambilan tanah sedang dijalankan,” katanya sambil menambah kemajuan fizikal projek kini mencapai kira-kira sembilan peratus dengan pembinaan dijangka siap menjelang Oktober 2029.

Projek bernilai RM1.7 bilion itu melibatkan pembinaan laluan utama sepanjang 6.4 kilometer (km) dengan keseluruhan jajaran termasuk tanjakan sejauh 15 kilometer yang menghubungkan Plaza Tol Pantai Dalam ke persimpangan Jalan Istana di Kuala Lumpur.

Terdahulu, lebih 15,000 peserta, termasuk dari 22 buah negara mengambil bahagian dalam acara larian terbesar edisi kelapan yang melibatkan empat kategori, iaitu maraton penuh 42.195 km, separuh maraton 21 km, larian 10 km dan 5 km.

Acara pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.