Tanah runtuh di Tebakang: 57 keluarga terputus hubungan

Ahli Parlimen Serian, Datuk Sri Richard Riot Jaem ketika meninjau lokasi kejadian, manakala gambar kanan menunjukkan kesan tanah runtuh di Kampung Krusen Kranji, Tebakang.

SERIAN, 11 Januari – Seramai 57 keluarga di Kampung Krusen Kranji, Tebakang terputus hubungan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • 57 keluarga di Kampung Krusen Kranji terputus hubungan akibat tanah runtuh di tebing sungai.
  • Tiada kehilangan nyawa dilaporkan, semua penduduk dinyatakan selamat.
  • Jawatankuasa Pengurusan Bencana Serian akan menilai pembinaan semula jalan dan laluan alternatif.
  • Permintaan segera untuk laluan alternatif dan pemulihan bekalan air oleh penduduk serta ketua kampung.

Insiden tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa.

Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem bersyukur semua penduduk selamat walaupun kejadian itu menimbulkan risiko besar kepada keselamatan.

Menurutnya, laluan alternatif bagi penduduk yang perlu ke tempat kerja dan sekolah masih dalam penilaian.

“Langkah segera akan diambil termasuk perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Serian untuk menilai pembinaan semula jalan demi keselamatan dan kemudahan penduduk,” katanya kepada kru RTM ketika meninjau lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Kampung Krusen Kranji, Donald Philip Patrick Paru berharap pihak berwajib dapat menyediakan laluan alternatif dengan segera serta memulihkan bekalan air yang terputus.

Manakala, Harry Julet yang tinggal berhampiran lokasi kejadian berharap tindakan pantas dapat diambil.

Tanah runtuh di tebing sungai itu berlaku pada pukul 8.15 malam selepas hujan lebat petang semalam.