
KUALA LUMPUR, 9 Julai– Tanah perkuburan awam baharu bagi umat Islam di Wilayah Persekutuan akan dibangunkan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, Selangor menerusi kaedah pertukaran tanah.
- Pembangunan Raudhatul Sakinah menyediakan kira-kira 104,000 lot kubur untuk umat Islam.
- Kapasiti dijangka menampung pengebumian sehingga 28 tahun, disertai kemudahan pengurusan jenazah dan infrastruktur sokongan.
- Projek dijangka siap pada 2029 sebelum diserahkan kepada JAWI untuk pengurusan dan penyelenggaraan.
- JAWI menegaskan tiada niat menswastakan urusan pengebumian; tanah kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Hanifuddin Roslan berkata, projek itu dilaksanakan bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan umat Islam di Wilayah Persekutuan yang semakin terhad.
Jelas beliau, pembangunan berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah itu akan menyediakan kira-kira 104,000 lot kubur.
“Jumlah itu dijangka mampu menampung keperluan pengebumian sehingga 28 tahun, selain dilengkapi kemudahan pengurusan jenazah dan infrastruktur sokongan.
Projek ini dijangka siap pada 2029 sebelum diserahkan kepada JAWI untuk menguruskan sepenuhnya operasi pengebumian dan penyelenggaraan tanah perkuburan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hanifuddin turut menegaskan, JAWI tidak pernah bercadang menswastakan urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Ia berikutan tanah perkuburan itu kekal sebagai tanah perkuburan awam bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.
Beliau berharap projek itu dapat memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam di Wilayah Persekutuan terus mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.