
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyambut baik hasrat kerajaan untuk menamatkan sistem lantikan doktor secara kontrak menjelang 2028, namun menegaskan pelaksanaannya memerlukan dasar yang jelas serta konsisten bagi memastikan matlamat itu dapat direalisasikan.
- Pelaksanaan memerlukan dasar jelas dan pelan pelaksanaan konsisten, bukan sekadar sasaran.
- Penyelesaian mesti melibatkan JPA, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak berkaitan.
- Perlu kelulusan perjawatan tetap, perancangan tenaga kerja dan komitmen kewangan yang mampan.
- Doktor muda memerlukan laluan kerjaya jelas dan peluang latihan kepakaran untuk memastikan kualiti tenaga kerja.
Presiden MMA, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, pengumuman tersebut menjadi perkembangan positif, selepas hampir sedekad doktor muda berdepan ketidaktentuan mengenai masa depan kerjaya mereka.
“Apa yang lebih penting sekarang bukan lagi sasaran, tetapi pelaksanaannya. Kita tidak mahu sasaran ini hanya tinggal sebagai satu pengumuman.
“Apa yang doktor muda harapkan adalah dasar kerajaan yang jelas diikuti dengan pelan pelaksanaan yang konsisten,” katanya.
Tambah beliau, penyelesaian isu berkenaan memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dengan penglibatan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta semua pihak berkaitan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut penting kerana ia memerlukan kelulusan perjawatan secara tetap, perancangan tenaga kerja dan komitmen kewangan yang mampan.
Selain jaminan jawatan tetap Datuk Dr. Thirunavukarasu berkata, doktor muda juga memerlukan laluan kerjaya yang jelas termasuk peluang mengikuti latihan kepakaran bagi memastikan sistem kesihatan negara terus mempunyai tenaga kerja berkualiti.
“MMA berharap apabila seorang doktor selesai menjalani latihan siswazah atau housemanship, mereka mempunyai laluan kerjaya yang jelas. Bukan sekadar jawatan tetap, tetapi juga peluang mengikuti latihan kepakaran dan pembangunan kerjaya.”
“Kepastian ini sangat penting, bukan sahaja untuk masa depan doktor muda, tetapi juga untuk memastikan sistem kesihatan negara terus mempunyai tenaga kerja yang mencukupi dan berkualiti,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengalaman hampir sedekad lalu yang menyaksikan ketidaktentuan sistem kontrak sehingga menyebabkan ramai doktor muda meninggalkan sektor awam dan bertindak berhijrah ke luar negara.
Sehubungan itu, beliau berharap pengumuman kerajaan menjadi titik penting kepada penyelesaian yang benar-benar muktamad, demi memastikan bakat perubatan tempatan terus kekal berkhidmat dalam sistem kesihatan negara.