
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 dengan pindaan pada peringkat jawatankuasa menerusi lebih suara bersetuju.
- Pindaan memperkukuh kerangka perundangan persaingan untuk tangani amalan antipersaingan termasuk kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan.
- Seksyen 24 memperkenalkan kesalahan jenayah bagi mereka yang memusnah, menyembunyi, mengubah atau mencacatkan rekod dan data siasatan MyCC.
- Rang undang-undang mengandungi 34 fasal bagi memperkukuh kuasa penguatkuasaan MyCC memastikan persaingan pasaran lebih adil dan telus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali terdahulu mengemukakan pindaan kecil melibatkan Fasal 22 RUU berkenaan bagi membetulkan kesilapan tipografi dalam perenggan F yang membabitkan rujukan kepada subseksyen.
RUU berkenaan telah dibahaskan oleh 18 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian sevelum dipersetujui pada peringkat dasar.
Pindaan itu bertujuan memperkukuh kerangka perundangan persaingan negara agar lebih berkesan dalam menangani amalan antipersaingan, termasuk kegiatan kartel dan penyalahgunaan kedudukan dominan yang semakin berkembang seiring kemajuan teknologi.
Selain itu, pindaan terhadap Seksyen 24 turut memperkenalkan kesalahan jenayah terhadap individu yang memusnahkan, menyembunyikan, mengubah atau mencacatkan rekod serta data bagi menghalang siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Rang undang-undang berkenaan mengandungi 34 fasal yang bertujuan memperkukuh kuasa penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia dalam memastikan persaingan pasaran yang lebih adil dan telus.