
KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Kesatuan Eropah (EU) menyifatkan Malaysia sebagai negara yang berpotensi tinggi untuk menarik pelaburan dalam sektor teknologi hijau, pendidikan serta, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
- Kerjasama pendidikan Malaysia-EU diperkukuh melalui program pertukaran seperti Erasmus, membuka peluang pelajar mengikuti pengajian di negara-negara Eropah.
- Malaysia menekankan hubungan antara rakyat dan pendidikan termasuk TVET bagi membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi memenuhi keperluan industri masa depan.
- EU mahu memperluas kerjasama antarabangsa dan menganggap Malaysia rakan strategik penting dalam usaha melahirkan bakat bersesuaian dengan keperluan global.
Duta EU ke Malaysia, Rafael Daerr berkata, Malaysia menjadi rakan strategik EU dalam memperkukuh kerjasama pendidikan menerusi program pertukaran pelajar seperti ‘Erasmus’.
“Selain TVET, saya gembira Malaysia turut menekankan mengenai hubungan antara rakyat dan bidang pendidikan kerana ia sememangnya sangat penting bagi
kami.
“Kami mempunyai pelbagai program pertukaran pendidikan. Mungkin ada yang sedia maklum mengenai program Erasmus yang popular kerana memberi peluang kepada ratusan juta pelajar mengikuti pengajian di negara-negara Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini, hari ini.
Tambah Rafael Daerr, usaha tersebut dijangka dapat memperkukuh hubungan Malaysia dan EU dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri masa depan.
“Kami melaksanakannya dalam EU bagi memperkukuh kerjasama sesama negara anggota. Namun, kami tidak mahu bergerak bersendirian.
“Kami juga mahu memperluaskan kerjasama dengan rakan-rakan di seluruh dunia dan Malaysia menjadi rakan strategik yang amat penting dalam usaha tersebut,” katanya lagi.