Perkukuh kuasa MyCC, Dewan Rakyat lulus pindaan Akta 712 dan 713

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara HIdup Datuk Armizan Mohd Ali / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 712), dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026 (RUU 713), bagi memperkukuh kuasa penguatkuasaan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU melibatkan 34 pindaan termasuk 29 seksyen dipertingkat dan lima seksyen baharu bagi memberi kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan lebih berkesan kepada MyCC.
  • Definisi persatuan perusahaan diperkemas untuk membendung penyalahgunaan medium bagi aktiviti kartel dan manipulasi pasaran.
  • Pindaan memperkenalkan kesalahan jenayah terhadap perusahaan yang gagal memberi kerjasama dalam penyaluran maklumat untuk kajian pasaran MyCC.
  • MyCC diberi kuasa memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi jika keputusan tertentu dibatalkan oleh Tribunal Rayuan Persaingan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, agenda reformasi perundangan kementerian itu dibuat bagi menjadikan pasaran domestik kekal adil, mampan dan progresif, sekali gus mampu menangani isu kos sara hidup rakyat serta melindungi kepentingan pengguna.

“Akta Persaingan melibatkan 34 pindaan termasuk penambah baikan terhadap 29 seksyen sedia ada, serta pengenalan lima seksyen baharu bagi memberi kuasa yang lebih berkesan kepada MyCC dalam aspek penguat kuasaan dan penyiasatan,” katanya menerusi satu kenyataan.

“Pindaan ini akan memperkemas definisi persatuan perusahaan bagi membendung penyalah gunaan medium berkenaan dari menjalankan aktiviti kartel dan manipulasi pasaran,” katanya lagi.

Selain itu, penetapan tindakan kesalahan jenayah turut diperuntukkan terhadap mana-mana perusahaan yang tidak memberi kerjasama dalam penyaluran maklumat kepada MyCC bagi tujuan kajian pasaran.

Pindaan RUU itu juga membolehkan MyCC memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi sekiranya terdapat mana-mana keputusan tertentu diketepikan oleh Tribunal Rayuan Persaingan.

KPDN yakin pindaan tersebut akan memperkukuh integriti pasaran, melindungi kebajikan pengguna dan menyokong kemampanan ekonomi negara.

Kedua-dua RUU tersebut dijangka dibentangkan di Dewan Negara antara 20 Julai hingga 4 Ogos nanti sebelum dikuat kuasakan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.