
KUALA LUMPUR 11 Jun – Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) terus membuktikan keberkesanan sebagai platform alternatif bagi mangsa mendapatkan keadilan apabila 80 daripada 99 aduan yang diterima sejak penubuhannya berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari hari pertama pendengaran.
- TAGS sebagai saluran alternatif di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 memperkukuh perlindungan dan akses keadilan mesra mangsa.
- Pelaksanaan e-TAGS membolehkan pemfailan, pengurusan, pendengaran dan penyimpanan aduan secara digital, mempercepatkan proses serta meningkatkan akses.
- Pejabat baharu dilengkapi kemudahan mesra mangsa termasuk Bilik Saksi Kanak-Kanak; keputusan Mahkamah Tinggi mengiktiraf profesionalisme tribunal.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyediakan mekanisme yang lebih cepat, mudah diakses dan mesra mangsa bagi menangani kes gangguan seksual.
Menurut beliau, 7 Jun lalu sebanyak 99 aduan telah difailkan sejak tribunal itu ditubuhkan pada 8 Mac 2024, manakala baki 19 aduan masih dalam proses pengurusan.
“Gangguan seksual bukan lagi boleh dianggap sebagai isu peribadi atau gurauan semata-mata, sebaliknya melibatkan hak, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat yang perlu ditangani secara serius.
“Ramai mangsa masih takut untuk tampil membuat laporan kerana beranggapan kes yang dialami tidak serius atau tidak mampu melalui proses perundangan yang panjang dan mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pejabat Tribunal Bagi Antigangguan Seksual serta melancarkan Sistem Pengurusan Aduan Secara Elektronik (e-TAGS) di Menara Aras Raya, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, penubuhan TAGS di bawah Akta Antigangguan Seksual 2022 menjadi langkah penting bagi memperkukuh perlindungan terhadap mangsa serta menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual.
Dalam masa sama, beliau berkata, pelaksanaan sistem e-TAGS yang mula digunakan pada 1 Januari lalu membolehkan keseluruhan proses pemfailan, pengurusan, pendengaran dan penyimpanan rekod aduan dilakukan secara digital, sekali gus mempercepatkan urusan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan tribunal.
Tambah beliau, pejabat baharu TAGS di Menara Aras Raya turut dilengkapi kemudahan mesra mangsa termasuk Bilik Saksi Kanak-Kanak bagi memastikan proses pendengaran berlangsung dalam suasana yang selamat dan bermaruah.
Beliau turut menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Jun yang mengekalkan satu award atau keputusan TAGS sebagai pengiktirafan penting terhadap profesionalisme, ketelitian dan integriti tribunal tersebut dalam mengendalikan aduan secara bebas dan adil.