Tragedi Karak: Polis lengkapkan kertas siasatan


PEKAN, 19 Jun – Polis masih melengkapkan kertas siasatan kes kemalangan maut di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang mengorbankan empat sekeluarga pada Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis menunggu laporan kimia sebelum merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwaan.
  • Suspek pemandu treler diberi jaminan polis selepas tamat tempoh reman empat hari.
  • Pemeriksaan menunjukkan suspek positif dadah dan mempunyai beberapa rekod trafik serta kesalahan berkaitan dadah.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya kini menunggu laporan kimia sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya.

“Kertas siasatan dalam proses dilengkapkan. Suspek telah diberi jaminan sebelum pertuduhan dapat dibuat. Makluman juga, siasatan dilaksana mengikut Seksyen 44,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia bersama Polis Pahang di sini.

Tambah beliau, suspek yang juga pemandu treler itu diberi jaminan polis selepas tamat tempoh reman selama empat hari yang berakhir semalam.

Sebelum ini, suspek, 40 tahun direman selepas menerima rawatan di Hospital Bentong akibat kecederaan yang dialaminya.

Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki berkenaan positif dadah serta mempunyai beberapa rekod kesalahan termasuk saman trafik dan jenayah berkaitan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, selain Seksyen
15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 14 Jun lalu, lori treler yang dipandu suspek yang membawa muatan habuk besi dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik dan menghempap kereta yang dinaiki empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.