
PEKAN, 19 Jun – Polis Pahang menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan kes penjualan dan pembelian sijil cuti sakit (MC) yang disyaki tidak sah.
- Siasatan sedang dijalankan; kertas siasatan akan dilengkapkan dan dirujuk ke pihak DPP jika wujud kesalahan.
- Lima individu sebelum ini, termasuk seorang jururawat, direman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan penjualan dan pembelian MC disyaki tidak sah.
- Beberapa yang ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman berakhir.
- Datuk Seri Yahaya Othman hadir pada majlis penyerahan MoU antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Polis Pahang.
Ketua Polis Negeri, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka yang berusia dalam lingkungan 40-an ditahan pada Rabu lalu.
“Siasatan sedang dijalankan untuk melengkapkan kes ini dan jika sabit atau terdapat kesalahan kita akan rujuk. Namun, sebelum itu kita telah melengkapkan kertas siasatan dan kemudian kita akan rujuk ke pihak DPP,” katanya.
Sebelum itu, lima individu termasuk seorang jururawat wanita ditahan dan direman di Mahkamah Majistret Pekan.
Ia menjadikan jumlah tangkapan seramai 9 individu setakat ini.
Lima individu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman antara tiga hingga empat hari bermula Isnin lalu tamat hari ini.
Terdahulu pada 15 Jun lalu, media melaporkan lima individu termasuk seorang jururawat direman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan kes penjualan dan pembelian MC yang disyaki tidak sah.
Datuk Seri Yahaya sebelum itu menghadiri Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia bersama Polis Pahang di sini.