
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jumlah perdagangan Malaysia pada Mei 2026 meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion berbanding RM252.5 bilion pada tempoh sama tahun lepas, didorong pertumbuhan kukuh eksport dan import.
- Eksport meningkat 45.3% kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1% kepada RM143.6 bilion, lebihan dagangan melonjak 5,214% kepada RM40.4 bilion.
- Eksport semula meningkat 58.4% dan menyumbang 22.2% daripada jumlah eksport, eksport domestik berkembang 42.0%.
- Lebihan dagangan direkod lebihan untuk bulan ke-73 berturut-turut sejak Mei 2020.
- Nilai dagangan terkumpul Januari hingga Mei 2026 meningkat 18.3% kepada RM1.5 trilion, lebihan naik 182.9% kepada RM132.8 bilion.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan eksport meningkat 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion manakala import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion, sementara lebihan dagangan melonjak 5,214 peratus kepada RM40.4 bilion dalam tempoh berkenaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan eksport disokong peningkatan eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula, yang merangkumi 22.2 peratus daripada jumlah eksport, meningkat 58.4 peratus tahun ke tahun kepada RM40.9 bilion.
“Eksport domestik yang menyumbang 77.8 peratus daripada jumlah eksport turut berkembang 42.0 peratus kepada RM143.1 bilion,” katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia bagi Mei 2026, hari ini.
Import pula meningkat 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion manakala lebihan dagangan naik 5,214 peratus kepada RM40.4 bilion, sekali gus mencatat lebihan dagangan bagi bulan ke-73 berturut-turut sejak Mei 2020.
Berbanding April 2026, eksport dan lebihan dagangan masing-masing meningkat 0.4 peratus serta 38.2 peratus, manakala import dan jumlah dagangan susut 6.8 peratus dan 2.9 peratus.
Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata prestasi jumlah dagangan, eksport dan import bagi tempoh Januari hingga Mei 2026 turut menunjukkan peningkatan.
Jumlah dagangan meningkat dua digit sebanyak 18.3 peratus kepada RM1.5 trilion berbanding RM1.2 trilion dalam tempoh sama tahun lepas, selaras dengan pertumbuhan eksport sebanyak 24.3 peratus dan import 11.8 peratus.
Pada masa sama, lebihan dagangan berkembang 182.9 peratus kepada RM132.8 bilion.
“Dalam lima bulan pertama 2026, Malaysia merekodkan nilai dagangan terkumpul tertinggi sebanyak RM1.5 trilion, mengatasi nilai keseluruhan dagangan RM1.4 trilion yang dicatatkan sepanjang 2014, iaitu 12 tahun lalu,” katanya. – BERNAMA