
KUALA LUMPUR, 19 Jun– Jaminan bekalan petrol, minyak dan gas jangka panjang yang ditawarkan Rusia kepada Malaysia disifatkan sebagai perkembangan strategik yang mampu memperkukuh keselamatan tenaga negara.
- Kepastian bekalan membolehkan perancangan tenaga negara lebih mampan dan melindungi pengguna, industri serta mengurangkan ketidaktentuan akibat harga minyak global.
- Mengurangkan risiko gangguan bekalan yang menjejaskan aktiviti ekonomi dan meningkatkan kos sara hidup rakyat.
- Lawatan rasmi memperluas kerjasama ekonomi dengan Rusia dalam perdagangan, pelaburan, kewangan Islam, halal dan teknologi bernilai tinggi seperti AI serta keselamatan siber.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, perkembangan itu hadir ketika pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan.
“Kepastian bekalan untuk tempoh yang lebih panjang memberi kelebihan kepada Malaysia dalam merancang keperluan tenaga negara secara lebih mampan.
Ini penting kerana ketika keadaan harga minyak dunia yang semakin tidak stabil, Malaysia sangat memerlukan kepastian bekalan untuk melindungi pengguna, industri dan juga kos logistik,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Tambah beliau, jaminan tersebut turut membantu mengurangkan risiko gangguan bekalan yang boleh memberi kesan kepada aktiviti ekonomi dan kos sara hidup rakyat.
Selain memperkukuh sektor tenaga, lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia juga dilihat membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam bidang perdagangan, pelaburan, kewangan Islam dan industri halal.
Menurut beliau, sektor teknologi bernilai tinggi seperti keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal turut berpotensi menjadi bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.
“Ini menunjukkan bahawa hubungan Malaysia dan Rusia tidak lagi terhad kepada isu diplomatik atau pertahanan semata-mata, sebaliknya semakin bergerak ke arah kerjasama ekonomi yang lebih meluas.
Dari sudut pandang ekonomi antarabangsa pula, ini selari dengan keperluan Malaysia untuk mempelbagaikan rakan dagang dan juga sumber bekalan,” ujarnya lagi.
Menurut Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan, perkembangan itu mencerminkan perubahan dalam hubungan Malaysia-Rusia yang kini semakin tertumpu kepada kerjasama ekonomi berimpak tinggi.
Ia sejajar dengan usaha negara memperluas jaringan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.
Katanya, dunia kini berdepan ketegangan geopolitik dunia, ancaman perang tarif dan juga gangguan rantaian bekalan yang menyebabkan ketidakstabilan harga komoditi.
Justeru, Malaysia tidak lagi boleh terlalu bergantung kepada satu-satu blok ekonomi tertentu sahaja.
“Jadi hubungan dengan Rusia ini memberi satu lagi saluran alternatif untuk memperkukuh daya tahan ekonomi negara,” katanya.