
KUALA KANGSAR, 14 Oktober – Pengumuman gaji permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan baharu dan pekerja separa mahir menerusi Belanjawan 2027 disambut baik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
- SPA menyambut baik langkah tetapi pelaksanaan perlu diperincikan melalui pekeliling untuk menjelaskan mekanisme, tempoh kuat kuasa dan kumpulan layak.
- Pelaksanaan memerlukan penelitian terperinci terutama implikasi kewangan dan kumpulan penerima manfaat.
- SPA menegaskan pekeliling diperlukan sebelum pelaksanaan agar tatacara dan ketetapan menjadi jelas.
- Gerak kerja penyediaan perincian lazimnya bermula selepas pembentangan belanjawan untuk melaksanakan dasar menurut ketetapan kerajaan.
Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata pelaksanaannya perlu diperincikan melalui pekeliling bagi menjelaskan mekanisme, tempoh kuat kuasa dan kumpulan yang layak menerima kadar berkenaan.
Katanya, pelaksanaan dasar itu memerlukan penelitian terperinci sebelum dapat dilaksanakan, khususnya membabitkan implikasi kewangan dan kumpulan penerima manfaat.
“Perkara yang dianggap sebagai satu bentuk penambahbaikan yang lebih baik cumanya bagaimana ia dilaksanakan, itu kita harus menunggu pekelilingnya kerana apa juga bentuk pelaksanaan dalam tadbir urus, memerlukan pekeliling. Kita menyambut baik apa yang telah dinyatakan itu melalui belanjawan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani di SMK Beluru Simpang di sini.
Beliau menambah, gerak kerja penyediaan perincian lazimnya bermula selepas pembentangan belanjawan, dengan pelaksanaan dijangka diperincikan bagi membolehkan dasar itu dilaksanakan mengikut ketetapan kerajaan.