
KUALA LUMPUR, 19 Jun– Permintaan global yang terus meningkat dijangka menyokong pertumbuhan industri sarung tangan, sekali gus mewujudkan prospek yang lebih stabil kepada pemain sektor itu.
- Pasaran semakin menghampiri keadaan sebelum pandemik, dengan keseimbangan lebih baik antara bekalan dan permintaan.
- Permintaan dunia berkembang sekitar 10 peratus setahun dan hampir meningkat dua kali ganda dalam tujuh tahun.
- Pertumbuhan bergantung kepada keupayaan syarikat dari segi pengurusan, kualiti dan kecekapan kos.
- Top Glove fokus pada kecekapan operasi, kawalan kos serta peningkatan kualiti; catat pendapatan RM3 bilion dan untung selepas cukai RM151 juta.
Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, permintaan sarung tangan dunia ketika ini berkembang sekitar 10 peratus setahun, didorong keperluan berterusan sektor penjagaan kesihatan.
Menurut beliau, pasaran kini semakin menghampiri keadaan normal seperti sebelum pandemik, dengan keseimbangan yang lebih baik antara bekalan dan permintaan.
“Berbanding sebelum pandemik pada 2019, permintaan sarung tangan dunia kini menunjukkan pertumbuhan yang baik. Selepas tujuh tahun, permintaan global hampir meningkat sekali ganda.
Pasaran itu masih ada, namun ia bergantung kepada keupayaan setiap syarikat dari segi pengurusan, kualiti dan kecekapan kos,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Taklimat Keputusan Kewangan Suku Ketiga Tahun Kewangan 2026.
Tan Sri Dr Lim menjelaskan, Top Glove kini memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, kawalan kos serta peningkatan kualiti bagi mengukuhkan daya saing syarikat.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mei 2026, Top Glove merekodkan pendapatan RM3 bilion, meningkat 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Untung selepas cukai pula melonjak 64 peratus kepada RM151 juta, manakala jumlah jualan meningkat 34 peratus.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026, syarikat mencatat pendapatan RM1.1 bilion dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM81 juta.