
KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Peningkatan penyertaan wanita dalam pasaran buruh dan bidang keusahawanan berpotensi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sehingga lapan peratus, jelas Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
- Peluasan peluang pekerjaan, akses pembiayaan dan peluang kepimpinan wanita penting untuk tingkatkan produktiviti dan sokong pertumbuhan ekonomi.
- McKinsey anggar usaha tingkat kesaksamaan wanita boleh sumbang tambahan besar kepada ekonomi Asia Pasifik; Malaysia sekitar AS$50 bilion setahun.
- Bank Dunia: wanita hanya nikmati kira-kira dua pertiga hak undang-undang dan pendapatan sekitar 77 sen bagi setiap dolar lelaki.
- Belanjawan 2027: Geran Sejahtera MADANI RM200 juta, RM20 juta naik taraf pusat jagaan, cuti bersalin sehingga 98 hari dan pelepasan cukai diperluas.
Beliau berkata hanya kira-kira separuh daripada wanita di seluruh dunia menyertai pasaran buruh berbanding hampir tiga perempat bagi lelaki.
“Firma perunding pengurusan global, McKinsey & Company menganggarkan usaha meningkatkan kesaksamaan wanita berpotensi menyumbang tambahan AS$4.5 trilion setahun kepada ekonomi rantau Asia Pasifik. Bagi Malaysia sahaja, jumlah itu dianggarkan sekitar AS$50 bilion setahun, bersamaan kira-kira lapan peratus peningkatan KDNK negara.
“Bagaimanapun, Bank Dunia mendapati wanita hanya menikmati kira-kira dua pertiga daripada hak di sisi undang-undang yang dinikmati lelaki. Wanita memperoleh 77 sen bagi setiap satu dolar yang diperoleh lelaki,” katanya.
Tengku Zafrul bercakap demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Wanita anjuran bersama Yayasan Basmi Kemiskinan dan Yayasan Bina Kesejahteraan, di sini, hari ini.
Beliau berkata peluasan peluang pekerjaan, akses kepada pembiayaan dan peluang kepimpinan wanita penting bagi meningkatkan produktiviti, mengoptimumkan bakat serta merangsang inovasi untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
Bagi memperluas penyertaan wanita dalam ekonomi, Belanjawan 2027 merangkumi beberapa inisiatif yang bertujuan membantu golongan berkenaan meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan, termasuk peruntukan RM200 juta bagi Geran Sejahtera MADANI yang menyasarkan 40,000 penerima menerusi penyediaan peralatan dan latihan untuk mengembangkan perniagaan.
Sebanyak RM20 juta turut diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan pusat penjagaan kanak-kanak di fasiliti kerajaan bagi membantu ibu bapa bekerja menguruskan penjagaan anak.
Belanjawan 2027 turut merangkumi penambahbaikan cuti bersalin bagi penjawat awam sehingga maksimum 98 hari bagi setiap kelahiran, selain peluasan pelepasan cukai bagi perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek, meliputi semua perbelanjaan penjagaan dan tidak lagi terhad kepada perbelanjaan kesihatan.