
RANTAU PANJANG, 26 Mac – Cuaca panas berpanjangan sejak bulan lalu menyebabkan paras air Sungai Golok semakin menyusut sehingga berada di bawah paras normal lima meter.
- Beting pasir mula timbul di beberapa kawasan termasuk Kampung Chabang Tiga Bagus, Lubok Gong, Lubok Stol dan Bukit Lata.
- Penduduk berkata paras air mula menyusut sejak kira-kira dua minggu lalu akibat ketiadaan hujan dan cuaca panas berterusan.
- Portal Info Banjir merekodkan bacaan paras air Sungai Golok pada 3.23 meter.
Tinjauan di beberapa kawasan termasuk Kampung Chabang Tiga Bagus, Lubok Gong, Lubok Stol dan sekitar Bukit Lata mendapati beting pasir mula timbul susulan penurunan paras air sungai.
Wakil penduduk, Suhaili Sulaiman berkata, keadaan air Sungai Golok mula menyusut sejak dua minggu lalu berikutan ketiadaan hujan serta musim panas yang berlarutan.
Menurutnya, situasi kali ini lebih ketara berbanding sebelum ini kerana tahun ini tidak berlaku banjir, sekali gus menyebabkan paras air sungai terus menurun.
“Cuaca panas berterusan tanpa hujan sejak Ramadan menyebabkan air sungai semakin cetek, malah ada kawasan sudah menampakkan beting pasir,” katanya.
Tambahnya, keadaan itu turut mendorong sebahagian penduduk mengambil kesempatan turun bermain air terutama pada waktu petang.
Seorang lagi penduduk, Haikal Razani berkata, paras air sungai kini hanya mencecah paras betis di beberapa kawasan.
“Sudah dua minggu paras air semakin surut dan di tengah sungai pun hanya paras betis,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penduduk tidak mengambil kesempatan untuk melintas ke Thailand kerana kawalan ketat oleh Pasukan Gerakan Am di kawasan sempadan.
Sementara itu, semakan di portal Info Banjir mendapati paras air Sungai Golok mencatat bacaan 3.23 meter, iaitu 1.77 meter di bawah paras normal lima meter.
Manakala Sungai Kelantan di stesen Tambatan Diraja, Kota Bharu pula, bacaan paras air direkodkan pada 0.96 meter setakat 26 Mac, iaitu 0.04 meter di bawah paras normal satu meter.