Kawalan RON95 diperkukuh, bendung ketirisan subsidi

FOTO FB Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penguatkuasaan diperkasa melalui OPS Tiris 4.0 untuk mengekang ketirisan dan penyeludupan subsidi, terutamanya di kawasan sempadan.
  • Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang melanggar larangan.
  • Langkah ini mengukuhkan peruntukan sedia ada; sebelum ini hanya pengusaha stesen minyak dikenakan tindakan.
  • Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu membanteras penyelewengan subsidi bahan api.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peluasan itu merupakan pengukuhan kepada peruntukan sedia ada yang sebelum ini hanya mengenakan kesalahan terhadap pengusaha stesen minyak.

Menurutnya, melalui pelaksanaan baharu itu, tindakan undang-undang turut akan dikenakan terhadap pemandu atau pemilik kenderaan asing yang melanggar larangan tersebut.

“Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi hantaran rasmi di media sosial hari ini.

Beliau terdahulu mempengerusikan mesyuarat bersama Bahagian Penguat Kuasa KPDN bagi memuktamadkan persiapan akhir penguatkuasaan tersebut.

Dalam masa sama, penguatkuasaan akan diperkasa melalui pelaksanaan OPS Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi mengekang ketirisan serta aktiviti penyeludupan bahan api subsidi, khususnya di kawasan sempadan.

Langkah itu turut mengambil kira peningkatan risiko ketirisan susulan ketegangan konflik Asia Barat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pemilik kenderaan asing agar mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Orang ramai juga diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu kerajaan membanteras penyelewengan subsidi bahan api.