Pulau Pinang bebas kes strok haba setakat ini

FOTO HIASAN

GEORGE TOWN, 26 Mac – Tiada kes strok haba direkodkan di Pulau Pinang setakat ini walaupun cuaca panas melanda kebanyakan kawasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Orang ramai dinasihatkan terus berjaga-jaga semasa cuaca panas.
  • Cuaca panas tidak menjejaskan aktiviti pelancongan setempat.
  • Awam semakin cakna dan mengambil langkah pencegahan terhadap risiko strok haba.
  • Pakai topi atau payung, kekal hidrasi, guna pakaian ringan dan cari tempat teduh.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, semakan bersama Jabatan Kesihatan Negeri mengesahkan tiada kes berkaitan strok haba dilaporkan.

“Setakat ini tiada kes dikenal pasti akibat strok haba. Namun, orang ramai dinasihatkan supaya terus berjaga-jaga dalam keadaan cuaca panas ini,” katanya.

Sementara itu, tinjauan RTM di sekitar negeri ini mendapati keadaan cuaca panas tidak menjejaskan aktiviti pelancongan.

Malah, orang ramai dilihat semakin cakna dan mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan risiko strok haba.

Seorang peniaga, Mohd Azril berkata, penggunaan pelindung diri seperti topi dan payung penting ketika berada di luar.

“Kalau keluar, pakailah pelindung seperti topi atau payung untuk jaga kesihatan,” katanya.

Seorang pelancong, Siti Nazihah pula menekankan kepentingan kekal hidrasi dan mengurangkan aktiviti luar.

“Perlu banyak minum air dan jika keluar, pakai pakaian yang selesa serta kurangkan berada di luar,” katanya.

Bagi seorang lagi pelancong, Nurin Raiha Mohd Sham, langkah seperti memakai pakaian ringan dan mencari tempat teduh antara cara mengelakkan risiko strok haba.

“Saya akan pakai pakaian nipis, duduk di tempat berteduh dan elak terdedah terlalu lama kepada matahari,” katanya.