
KUALA LUMPUR, 26 Mac – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan kenderaan sebanyak 2.3 juta pengguna setiap hari menggunakan Lebuhraya Utara Selatan untuk pulang ke ibu kota bermula Jumaat selepas cuti perayaan Aidilfitri.
- Hari puncak pulang dikenal pasti pada 27, 28 dan 29 Mac.
- PLUS aktifkan Smart Lane di 34 lokasi terpilih dan PLUSRonda bertugas 24 jam untuk bantuan pengguna.
- Kemudahan R&R dan hentian sebelah dipertingkat; pengguna disarankan semak baki Touch 'n Go dan eWallet sebelum bergerak.
PLUS menerusi kenyataan memaklumkan peningkatan itu melibatkan trafik jarak jauh serta perjalanan antara bandar-bandar utama menuju ke Lembah Klang selepas cuti perayaan.
“Sepanjang tempoh perjalanan pulang ke ibu kota, hari-hari puncak yang dikenal pasti adalah pada 27, 28 dan 29 Mac ini. PLUS menjangkakan antara dua juta sehingga 2.3 juta kenderaan sehari akan menggunakan rangkaian lebuh raya.
“Bagi melancarkan perjalanan, PLUS turut mengaktifkan laluan Smart Lane di 34 lokasi terpilih serta menugaskan anggota PLUSRonda yang melakukan rondaan 24-jam sehari di lebuh raya bagi memberikan bantuan kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, PLUS turut mempertingkatkan kemudahan di semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah bagi menampung jumlah pengguna yang tinggi sepanjang tempoh berkenaan.
PLUS turut menyarankan pengguna untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go dan eWallet mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi melancarkan aliran trafik di plaza tol.
Pengguna lebuhraya boleh menyemak maklumat trafik terkini serta merancang perjalanan melalui aplikasi PLUS menerusi MyPLUS-TTA, aplikasi X@plustrafik, X@lpt2trafik atau menerusi paparan mesej elektronik (VMS) sepanjang lebuh raya serta stesen-stesen radio tempatan.