
TAWAU, 26 Mac – Bekalan air bersih di Pulau Sebatik kini berada pada tahap kritikal apabila paras air di empangan utama semakin susut sehingga menghampiri had minimum.
- Jabatan Air Negeri laksanakan catuan; tanpa catuan bekalan air dijangka hanya mampu bertahan kira-kira lapan hari.
- Kerajaan negeri diminta tambah Portable Water Purified Plant, tube well, baiki perigi loji rawatan dan percepat projek pendalaman empangan.
- Loji Rawatan Air beroperasi sekitar 0.3 juta liter sehari, turun dari 1.5 juta, pengurangan bekalan terawat kira-kira 80 peratus.
- Penduduk terpaksa beli air mineral, alami kesukaran harian; lori tangki dihantar sejak 24 Mac dan pengagihan oleh pejabat parlimen, JKKK.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy memaklumkan, situasi kemarau yang melanda khususnya di pulau berkenaan menyebabkan paras air di Empangan Wallace Bay kini kurang daripada satu meter.
Menurut beliau, keadaan itu memaksa Jabatan Air Negeri Sabah melaksanakan catuan air bagi memastikan bekalan dapat bertahan lebih lama.
“Sekiranya catuan tidak dilakukan, bekalan air bersih di Pulau Sebatik dijangka hanya mampu bertahan kira-kira lapan hari,” katanya kepada RTM selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Pukat, Tanjung Batu Laut, di sini.
Beliau turut memohon campur tangan segera kerajaan negeri termasuk penambahan kemudahan Portable Water Purified Plant dan tube well di lokasi strategik, selain membaik pulih perigi loji rawatan air serta mempercepatkan projek pendalaman empangan bagi menjamin bekalan lebih stabil dalam jangka panjang.
Tegasnya, tanpa tindakan segera, krisis berkenaan bukan sahaja menjejaskan bekalan air tetapi turut memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk.
Seorang penduduk, Hadijah Imansa berkata, mereka kini berdepan kesukaran mendapatkan air bersih sehingga terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan harian.
“Bekalan air sangat terhad, kami terpaksa berjimat dan kadang-kadang perlu keluar ke bandar untuk mendapatkan air minuman,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Wahidah Umar turut berharap kerajaan dapat segera membantu menangani masalah berkenaan.
“Untuk kegunaan harian seperti memasak dan mencuci pun sukar. Harap ada bantuan segera kerana keadaan ini amat membebankan,” katanya.
Menurut Jabatan Air Pulau Sebatik, paras air di takungan utama kini berada pada tahap membimbangkan dengan kapasiti simpanan dianggarkan mampu bertahan kurang daripada tujuh hari jika penggunaan kekal seperti biasa.
Situasi itu menyebabkan Loji Rawatan Air Pulau Sebatik hanya beroperasi pada kapasiti sekitar 0.3 juta liter sehari berbanding 1.5 juta liter sehari sebelum ini, sekali gus menyaksikan pengurangan bekalan air terawat sehingga 80 peratus.
Antara kawasan terjejas termasuk Kampung Wallace Bay, Kampung Mentadak, Sungai Tamang, Sungai Tongkang serta kawasan sekitarnya.
Sebagai langkah segera, bekalan air dihantar menggunakan lori tangki sejak 24 Mac lalu, manakala Pejabat Parlimen Kalabakan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung giat mengagihkan air minuman kepada penduduk terjejas.
