Sultan Selangor zahir penghargaan kepada PM atas komitmen teruskan projek LRT3

Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 1 Julai – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan dan mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, atas komitmen meneruskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam sehingga berjaya direalisasikan demi manfaat rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mengembalikan lima stesen LRT3 dan merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar stesen.
  • Pembukaan LRT3 dijangka mengurangkan kenderaan, menyediakan perjalanan lebih pantas, selesa dan selamat untuk penduduk Klang dan Shah Alam.
  • Kejayaan LRT3 hasil kesinambungan perancangan dan kerjasama pelbagai pihak; Sultan mahu penyelenggaraan berterusan oleh Prasarana.

Baginda bertitah selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju meneruskan projek berkenaan dengan mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, selain merancang pembinaan rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.

“Beliau juga telah mengarahkan agar tiada lagi sebarang halangan yang perlu dilayan daripada mana-mana pihak berkaitan dengan projek ini. Terima kasih dan syabas Beta ucapkan kepada YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” titah Baginda dalam perutusan yang dikeluarkan hari ini, sempena pengoperasian LRT3 sejak Isnin lalu.

Menurut baginda, projek LRT3 Shah Alam yang akhirnya dapat direalisasikan akan memberi manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat Selangor, khususnya penduduk di Shah Alam, Klang dan kawasan sekitarnya.

Pada masa sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana menerima cadangan pembinaan laluan rel yang menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur selepas baginda membangkitkan perkara itu pada 2015.

Baginda bertitah ketika itu Klang hanya mempunyai dua jambatan melintasi Sungai Klang sehingga menyebabkan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk dan sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran kerajaan di bawah Datuk Seri Najib ketika itu memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada 2018.

Baginda bertitah apabila berlaku pertukaran kerajaan pada 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan, sebelum berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19 sehingga 2021.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa dalam tempoh tersebut, cadangan saiz setiap stesen turut dikecilkan, jumlah gerabak tren dikurangkan, manakala lima lokasi stesen yang dicadangkan dalam jajaran berkenaan dibatalkan.

Sehubungan itu, baginda menegaskan LRT3 bukan projek mega untuk bermegah-megah, sebaliknya merupakan inisiatif penting bagi memenuhi keperluan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Baginda berharap pembukaan laluan itu mampu mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, selain menyediakan pilihan perjalanan yang lebih pantas, selesa dan selamat kepada rakyat, khususnya penduduk Klang dan Shah Alam yang berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Baginda turut berharap pihak Prasarana Malaysia Berhad dapat memastikan penyelenggaraan laluan LRT3 dilaksanakan secara berterusan agar perkhidmatan dapat beroperasi dengan lancar dan cekap.

Pada masa sama, baginda menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 tidak seharusnya dikaitkan dengan usaha mana-mana pihak secara bersendirian.

“Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata. Hakikatnya, projek ini hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titah baginda.

Baginda berharap kemudahan infrastruktur LRT3 akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan kualiti hidup rakyat serta mengukuhkan hubungan antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai antara nadi utama pertumbuhan negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.