
GEORGE TOWN, 1 Julai – Seramai 9 juta pelancong domestik dan antarabangsa disasarkan berkunjung ke Kedah pada tahun ini.
- Kerjasama dengan agensi dan pemain industri, termasuk Pulau Pinang, diperhebat untuk mempromosi dan menarik minat pelancong ke Kedah.
- Kedah berjaya melepasi sasaran kemasukan pelancong tahun lepas, menunjukkan pemulihan dan usaha promosi yang berkesan.
- Penekanan produk pelancongan seperti Geopark Gunung Jerai, Pulau Songsong, aktiviti air Sedim dan Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong.
Pengurus Besar Kedah Tourism, Mohd Zaidy Omar berkata, kerjasama dengan agensi dan pemain industri terlibat dalam sektor pelancongan terus diperhebat termasuk dari Pulau Pinang sebagai usaha mempromosi dan menarik minat pelancong ke negeri jelapang padi itu.
“Kita berjaya melepasi sasaran kemasukan 7.7 juta pelancong pada tahun lepas. Kita mencapai lebih 7.1 juta pelancong domestik, manakala lebih 2 juta pelancong antarabangsa. Jadi, kita dapat capai kira-kira 9 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis B2B Kedah Tourism Pererat Jalinan Pemain Industri Antara Negeri, di sini.
Turut hadir sama ialah Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Abdul Hadi Che Man.
Sementara itu, aspek produk pelancongan turut diberi tumpuan bagi menarik kedatangan pelancong seperti Geopark Gunung Jerai, Pulau Songsong, aktiviti air di Sedim serta, Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong di Baling.