
KUALA LUMPUR, 24 September – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan buku khas bertajuk ‘A Living History: Personal Reflections on the University of Malaya (UM)’ di ibu negara hari ini.
- Buku kompilasi pengalaman 30 tokoh akademik merakam sejarah UM antara 1960 hingga 2010, 450 halaman terbitan UM Press.
- Menekankan pencapaian ilmiah dan pengiktirafan antarabangsa ahli akademik sejak era 1970-an.
- Terbuka mengenai fasa sukar seperti DEB, peralihan bahasa, AUKU 1971 dan kekangan kebebasan bersuara; dijangka jadi rujukan dan inspirasi generasi kini.
Buku setebal 450 halaman terbitan Universiti Malaya Press (UM Press) itu menghimpunkan pengalaman hidup serta catatan peribadi 30 tokoh dan ahli akademik yang merangkumi perjalanan universiti tertua di Malaysia sepanjang lima dekad, antara tahun 1960 hingga 2010.
Sultan Nazrin yang juga Canselor UM bertitah, naskah berkenaan bukan sekadar bentuk penghormatan kepada pusat pengajian tinggi itu, malah merupakan rekod sejarah peribadi yang mencerminkan proses pembinaan bangsa dan negara.
“UM memegang tanggungjawab besar sejak masa awal kemerdekaan sebagai lembaga pendidikan tinggi terkemuka di Malaysia. Sejak era 1970-an, para ahli akademik universiti ini dinilai dan membuktikan keupayaan mereka untuk bersaing serta diakui di peringkat antarabangsa,” titah Baginda.
”Pencapaian ilmiah dan akademik yang dicatat dalam bab-bab buku ini membuktikan bahawa ahli akademik Malaysia sejak lama telah menunjukkan prestasi melebihi jangkaan. Kita wajar berbangga dengan kolaborasi dan kemajuan di peringkat global yang telah dicapai sejak awal,” titah Baginda lagi.
Selain mengangkat kejayaan, Sultan Nazrin turut menarik perhatian mengenai keterbukaan buku berkenaan yang tidak meminggirkan fasa-fasa sukar dalam sejarah kampus.
Ini termasuk kesan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), proses peralihan bahasa pengantar ke Bahasa Melayu serta kekangan terhadap kebebasan bersuara dan wacana intelektual pasca-krisis Mei 1969.
Baginda juga memuji kepemimpinan dan dedikasi warga kampus terdahulu yang berjaya mengekalkan keseimbangan demi memastikan institusi tersebut kekal relevan dan berdaya saing.
Sementara itu, Ketua Editor buku tersebut, Profesor Emeritus Datuk Dr. V.G. Kumar Das mendedahkan gagasan penerbitan naskah berkenaan tercetus setahun lalu semasa pertemuan santai beliau bersama rakan-rakan.
“Bagi memastikan keaslian suara setiap pencerita, kami para penulis tidak dibenarkan melihat tulisan antara satu sama lain sebelum penerbitan dijalankan.
”Buku ini merekodkan sejarah hidup dan pengalaman sebenar warganya, bukan sekadar laporan formal atau rekod rasmi di atas kertas. Penulis dari pelbagai fakulti berkongsi secara telus mengenai cabaran yang didepani daripada pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU 1971), peralihan sistem akademik, kekangan kebebasan bersuara mahasiswa, hinggalah penyesuaian dasar bahasa,” jelas Profesor Emeritus Datuk Dr. V.G. Kumar Das ketika ditemui media selepas majlis pelancaran.
Beliau berharap kompilasi pengalaman hidup para perintis ini dapat menjadi sumber inspirasi dan rujukan berguna buat generasi penulis dan warga kampus masa kini.
Buku ‘A Living History: Personal Reflections on the University of Malaya (UM)’ disunting bersama oleh tiga tokoh akademik terkemuka universiti itu iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, Profesor Emeritus Tengku Datuk Shamsul Bahrin dan Profesor Emeritus Datuk Dr. V.G. Kumar Das.