ALOR SETAR, 12 April- Penderitaan yang dialami umat Islam di Palestin akibat kekejaman tentera rejim Zionis turut mendapat perhatian dan simpati Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
Baginda turut berharap umat Islam di Palestin akan mendapat keadilan dan kebebasan yang diperjuangkan selama ini.
Pada masa sama, baginda menyeru seluruh umat Islam untuk terus berdoa buat umat Islam di Palestin dalam menghadapi ujian besar pada ketika ini.
"Pengeboman tanpa mengira masa dan tempat seperti di rumah, masjid, sekolah, hospital dan fasiliti kesihatan telah mengakibatkan kerosakan yang teruk dan musnah dalam sekelip mata. Selain itu, bilangan mangsa-mangsa yang terkorban kian meningkat terutama dalam kalangan rakyat yang tidak berdosa seperti kanak-kanak, orang tua dan wanita," titah baginda.
Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin juga menyeru seluruh rakyat agar sentiasa mensyukuri nikmat hidup di Malaysia dalam keadaan aman dan harmoni.