
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Mesyuarat Sekretariat ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-22 anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha membanteras rasuah menerusi perkongsian amalan terbaik, pembangunan kapasiti institusi dan tindakan kolektif selaras dengan rangka kerja antarabangsa.
Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan (BDPP) SPRM, Datuk Rasidah Abdul Karim berkata, inisiatif itu turut menyumbang kepada pemerkasaan nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik di peringkat serantau.
Beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung di sebuah hotel di Melaka dari 28 hingga 30 Julai itu akan dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan menghimpunkan delegasi daripada agensi antirasuah negara anggota ASEAN-PAC, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.
Turut mengambil bahagian ialah wakil daripada International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Asian Development Bank (ADB) dan Perdana International Anti-Corruption Champion Foundation (PIACCF).
“Mesyuarat ini merupakan pertemuan peringkat serantau Asia Tenggara yang kedua dianjurkan SPRM sempena tempoh kepengerusian ASEAN-PAC bagi penggal 2025 hingga 2026 selepas kejayaan penganjuran Mesyuarat Prinsipal ASEAN-PAC pada Oktober tahun lalu.
Sebagai salah satu pertemuan tahunan utama ASEAN-PAC, mesyuarat ini menyediakan ruang kepada agensi antirasuah negara anggota ASEAN membincangkan cabaran rasuah yang semakin kompleks, berkongsi pengalaman dan pendekatan inovatif, serta meneroka peluang memperluas kerjasama dalam aspek penguatkuasaan, pencegahan, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan integriti,” katanya dalam satu kenyataan.
Bersempena penganjuran mesyuarat itu, seminar bertajuk “Integrity in Major Infrastructure Projects” akan diadakan pada 29 Julai bagi membincangkan pemerkasaan integriti, pengurusan risiko rasuah dan pengukuhan tadbir urus dalam pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar.
Selain itu, Program Hospitaliti pada 30 Julai akan memberi peluang kepada delegasi luar negara mengenali warisan budaya Malaysia, di samping mengukuhkan jaringan profesional dan hubungan kerjasama antara anggota ASEAN-PAC serta rakan strategik.
Datuk Rasidah berkata, melalui mesyuarat dan program sampingan itu, Malaysia berharap dapat terus memperkukuh solidariti serantau, menggalakkan perkongsian pengalaman, amalan terbaik, cabaran serta pendekatan berkesan dalam membanteras rasuah, sekali gus memperkukuh kedudukan ASEAN-PAC sebagai platform utama kerjasama antirasuah di Asia Tenggara.
Beliau berkata, penganjuran mesyuarat itu turut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama antirasuah di peringkat serantau dan antarabangsa selaras dengan peranan ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama antara agensi antirasuah negara anggota ASEAN.