Mekanisme perkongsian manfaat kredit karbon diperhalus, lindungi hak komuniti orang asal

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Kerajaan sedang memperhalus mekanisme perkongsian manfaat bagi memastikan komuniti orang asal dan masyarakat pribumi menerima manfaat ekonomi secara adil daripada pembangunan projek kredit karbon.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF) mengandungi dua instrumen utama: Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) dan Offset Karbon Hutan (FCO).
  • Instrumen dibangunkan berasaskan Cancun Safeguards yang menekankan perlindungan sosial, alam sekitar dan tadbir urus.
  • Projek melibatkan komuniti mesti dilaksanakan berdasarkan prinsip Izin, Maklum Awal, Bebas dan Telus (FPIC).
  • Garis panduan serta metodologi FCO diperhalus termasuk mekanisme perkongsian manfaat bagi pengagihan ekonomi adil selaras bidang kuasa negeri.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, mekanisme itu sedang dibangunkan menerusi Kerangka Kewangan REDD Plus (RFF) yang merangkumi dua instrumen utama, iaitu Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC) dan Offset Karbon Hutan (FCO).

“Kedua-dua instrumen ini telah dibangunkan berasaskan Cancun Safeguards yang memberi penekanan kepada aspek perlindungan sosial, alam sekitar dan tadbir urus.

“Ini termasuk keperluan supaya projek yang melibatkan komuniti tempatan dilaksanakan berdasarkan prinsip Izin, Maklum Awal, Bebas dan Telus (FPIC) bagi memastikan penyertaan komuniti yang dibuat secara bebas dimaklumkan dan dipersetujui terlebih dahulu.

“Di samping itu, kementerian juga sedang memperhalus garis panduan dan metodologi FCO, termasuk aspek mekanisme perkongsian manfaat supaya manfaat ekonomi daripada projek karbon dapat disalurkan secara adil dan saksama kepada komuniti setempat selaras dengan bidang kuasa kerajaan negeri terhadap tanah dan hutan,” katanya.

Datuk Seri Arthur menjawab soalan tambahan Senator Abun Sui Anyit di Dewan Negara.

Mengenai kebimbangan terhadap hak kerajaan negeri, beliau berkata, Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara akan menyediakan kerangka perundangan kebangsaan bagi memastikan tadbir urus karbon dilaksanakan secara telus, tanpa menjejaskan hak kerajaan negeri ke atas tanah dan hutan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.