PM hargai peranan USM perkasa ekosistem semikonduktor negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Canselor USM, Datuk Prof Dr Abdul Rahman Mohamed pada majlis perasmian Penang International Halal Expo (PIHEX) 2026 pada Sabtu/ USM

SEBERANG PERAI, 27 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji usaha Universiti Sains Malaysia (USM) menerajui pembangunan bakat semikonduktor negara, sekali gus memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memperuntukkan RM5 juta kepada USM untuk membangunkan Hab Semikonduktor Bumiputera bagi memperkukuh bakat, penyelidikan dan inovasi.
  • USM digesa manfaatkan peruntukan untuk meneroka idea baharu, memperkukuh penyelidikan dan menghimpunkan kepakaran akademik serta industri.
  • Pemerkasaan sektor semikonduktor dijalankan melalui kerjasama erat dengan rakan industri, agensi kerajaan dan KPT menyokong NSS dan NIMP 2030.
  • USM mempamerkan kapasiti dalam reka bentuk cip, pembangunan cip, pembuatan wafer GaN, prototaip LED dan penyelidikan Advanced Packaging.

Beliau berkata pengiktirafan terhadap USM sebagai pembangun bakat semikonduktor negara serta peneraju pembangunan ekosistem semikonduktor Bumiputera merupakan langkah strategik selari dengan aspirasi negara memperkasa industri bernilai tinggi.

“Kerajaan MADANI memperuntukkan RM5 juta kepada USM bagi membangunkan Hab Semikonduktor Bumiputera dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat, penyelidikan dan inovasi bidang semikonduktor,” menurut Perdana Menteri seperti dipetik dalam kenyataan USM pada Jumaat.

Datuk Seri Anwar berkata USM perlu memanfaatkan peruntukan berkenaan dengan meneroka idea baharu, memperkukuh penyelidikan serta menghimpunkan kepakaran ahli akademik, industri dan rakan strategik bagi mempercepat pembangunan ekosistem semikonduktor yang mampan serta berdaya saing.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, USM berkata pemerkasaan sektor semikonduktor digerakkan menerusi kerjasama erat bersama rakan industri strategik, agensi kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menyokong pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“USM komited dalam menjayakan agenda negara melalui pembangunan bakat bertaraf dunia, penyelidikan berimpak tinggi dan penghasilan teknologi yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi,” menurut universiti itu.

USM menerusi Pejabat Jaringan Industri, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) sebelum ini diberi kepercayaan mengetengahkan keupayaan universiti dalam pembangunan bakat, penyelidikan dan teknologi semikonduktor menerusi Penang International Halal Expo (PIHEX) dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) 2026.

Pameran itu menampilkan bidang reka bentuk cip, pembangunan cip, pembuatan wafer galium nitrida (GaN), pembangunan prototaip LED serta penyelidikan berkaitan Advanced Packaging.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.