KANGAR, 3 Januari - Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Malaysia merekodkan tangkapan ikan bandaraya sebanyak kira-kira 75 tan di seluruh Semenanjung Malaysia dari penghujung 2023 hingga Disember 2025.
Pengasas SPIA Malaysia, Mohamad Haziq A. Rahman berkata, tangkapan itu menunjukkan ikan asing mula mendominasi sungai, sekali gus memberi tekanan kepada ikan tempatan.
"Sejak hujung tahun 2023 hingga Disember 2025, SPIA telah merekodkan kira-kira 75 tan ikan bandaraya ditangkap di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Bagaimanapun, angka ini tidak termasuk hasil tangkapan program yang dilaksanakan di Perlis hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Perlis Bake With Love 4.0: Sinar Bawah Air anjuran bersama-sama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka, Kedah di Sungai Perlis di sini hari ini.
Dalam operasi khas hari ini, SPIA Malaysia bersama agensi berkaitan berjaya menangkap 72 ekor ikan asing, manakala hanya 16 ekor ikan tempatan direkodkan.
Program yang dianjurkan bersama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka itu bukan sahaja usaha menjaga perairan negara malah meningkatkan kesedaran pelajar dan komuniti tentang kepentingan memelihara ekosistem air.
"Kejayaan program ini dicapai menerusi operasi lapangan dan program kesedaran yang berterusan dengan sokongan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri, Jabatan Perikanan Negeri serta Majlis Perbandaran Kangar," katanya.
