
KUALA LUMPUR, 5 April – Kejayaan cemerlang pelajar Orang Asli dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuktikan tiada halangan untuk mencapai kecemerlangan apabila mendapat sokongan daripada keluarga, guru dan kerajaan.
- Sokongan ibu bapa dan komitmen guru dengan kaedah pembelajaran interaktif memangkin kejayaan pelajar.
- Bantuan sekolah dan JAKOA seperti kelas tambahan, program ilmu dan sokongan kewangan membantu pelajar pedalaman.
- Kejayaan pelajar menjadi inspirasi kepada generasi muda Orang Asli untuk meneruskan pengajian.
- Harapan agar lebih banyak kemudahan dan peluang pendidikan disediakan terutama di kawasan pedalaman.
Tiga pelajar daripada komuniti tersebut berkongsi pengalaman selepas meraih keputusan cemerlang, sekali gus mencerminkan kepentingan dedikasi serta sokongan menyeluruh dalam pendidikan.
Menurut Syaza Maisarah Mohamad Fhadli, dorongan ibu bapa serta komitmen guru yang menyediakan kaedah pembelajaran interaktif menjadi pemangkin kejayaannya.

“Sejujurnya, saya tak sangka dapat keputusan yang sebegitu cemerlang. Saya berasa sangat bangga dan terharu kerana usaha saya selama ini tidak sia-sia, selain berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang sentiasa menyokong,” katanya.
Sementara itu, Nur Dania Suhaila Johari menegaskan bantuan berterusan daripada pihak sekolah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) banyak membantu pelajar memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Bantuan seperti kelas tambahan, program ilmu dan sokongan kewangan membolehkan kami mendapatkan bahan pembelajaran tanpa beban, khususnya bagi pelajar di kawasan pedalaman,” katanya.
Bagi Santosh Kerwant Singh pula, kejayaan tersebut bukan sahaja pencapaian peribadi, malah diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda Orang Asli lain.

“Saya bercadang menyambung pengajian ke Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan berharap lebih banyak kemudahan serta peluang pendidikan disediakan kepada masyarakat Orang Asli, terutama di kawasan pedalaman,” katanya.