Skim PGA Senoi Praaq wajar ditambah baik tarik minat belia orang asli

Datuk Seri Hazani Ghazali / RTM

GUA MUSANG, 9 Ogos- Skim perkhidmatan Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq wajar dinilai dan ditambah baik bagi menarik lebih ramai belia orang asli menyertai pasukan keselamatan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penasihat Persatuan Bekas Polis menyeru penilaian dan penambahbaikan skim Senoi Praaq supaya kerjaya terus relevan dan menarik minat belia Orang Asli.
  • Usulan itu disokong Perkara 8(5)(C) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kelebihan lantikan jawatan sesuai kepada masyarakat Orang Asli.
  • Program menghimpunkan hampir 300 pesara bagi menilai kebajikan dan kesihatan mereka serta menghargai jasa bekas anggota Senoi Praaq.

Penasihat Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata penambahbaikan skim berkenaan penting bagi memastikan kerjaya dalam Senoi Praaq terus relevan serta mampu menarik minat generasi muda masyarakat orang asli.

Menurutnya, perkara itu juga selaras dengan Perkara 8(5)(C) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kelebihan tertentu kepada masyarakat orang asli dalam pelantikan ke jawatan yang bersesuaian dalam perkhidmatan awam.

“Pihak berwajib disaran menilai semula skim ini dan mencari pendekatan yang dapat menarik lebih ramai belia menyertai Senoi Praaq,” katanya ketika ditemui pemberita pada program menyantuni pesara Senoi Praaq dan Pasukan 69 Komando (VAT 69) di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Kelantan, Aziz Kamsin berkata program yang diadakan buat julung kalinya itu menghimpunkan hampir 300 pesara.

Beliau berkata program itu bertujuan mengenal pasti kebajikan dan keadaan kesihatan bekas anggota, termasuk mereka yang uzur, terlantar atau memerlukan bantuan khas, selain memastikan jasa mereka kepada negara terus dikenang.

“Kita tidak mengabaikan mereka walaupun sudah bersara kerana jasa mereka kepada negara, khususnya anggota Senoi Praaq, sentiasa dikenang. Mereka merupakan antara anggota barisan hadapan ketika zaman ancaman komunis,” katanya.

Seorang bekas anggota Senoi Praaq, Zainal Ruktur berkata pertemuan itu amat bermakna kerana menghimpunkan semula rakan-rakan lama yang pernah berkhidmat bersama.

“Kami sangat terharu kerana dapat berkumpul semula dan bersyukur dapat bertemu rakan lama. Bagi mereka yang telah meninggal dunia, kami mengucapkan takziah kepada keluarga mereka,” katanya.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ramli Mohd Nor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.