
LABUAN, 9 Ogos- Pasangan yang mempunyai tunggakan pendaftaran atau memerlukan pengesahan pernikahan diseru mendapatkan khidmat nasihat dan menyelesaikan urusan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang syariah bagi memastikan hak pasangan serta kebajikan anak-anak terus terpelihara.
- Kegagalan mendaftarkan pernikahan beri implikasi terhadap nasab, nafkah, pendaftaran dokumen pengenalan dan pembahagian harta pusaka.
- Pendekatan turun padang pihak berkuasa agama bukan untuk menghukum tetapi membantu menyelesaikan isu pendaftaran pernikahan.
- Usaha penting untuk memastikan hak pasangan dan kebajikan anak-anak terpelihara serta elakkan kesulitan urusan kekeluargaan masa hadapan.
- Program dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi untuk mudahkan penyelesaian isu pernikahan dan selaras dengan hukum syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata kegagalan mendaftarkan pernikahan boleh memberi implikasi terhadap urusan nasab, nafkah, pendaftaran dokumen pengenalan diri dan pembahagian harta pusaka.
Beliau berkata pendekatan turun padang yang dilaksanakan pihak berkuasa agama bukan bertujuan mencari kesalahan atau menghukum, sebaliknya membantu masyarakat menyelesaikan isu berkaitan pendaftaran dan pengesahan pernikahan.
Menurutnya, usaha itu penting bagi memastikan hak pasangan dan kebajikan anak-anak terus terpelihara, selain mengelakkan kesulitan dalam urusan kekeluargaan pada masa hadapan.
Program berkenaan dianjurkan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuk Pejabat Parlimen Labuan, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Bantuan Guaman.
Inisiatif itu diharap dapat memudahkan masyarakat mendapatkan penyelesaian terhadap isu berkaitan pernikahan, sekali gus memastikan urusan kekeluargaan dilaksanakan selaras dengan hukum syarak dan peruntukan undang-undang.