
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah disambut baik orang ramai, yang berharap perkara itu dapat diperbetulkan demi memastikan kepentingan pendeposit terus terpelihara.
- Majoriti penyimpan TH di Kuala Lumpur menyokong usaha menyelesaikan perkara berkaitan.
- Orang ramai mahu siasatan menyeluruh bagi kenal pasti pelaku dan punca supaya kejadian tidak berulang.
- Penabung anggap TH sebagai institusi dipercayai dan berharap isu ini tidak berulang; titah Raja perlu dipatuhi.
Tinjauan RTM di sekitar Kuala Lumpur mendapati majoriti orang awam yang juga penyimpan TH yang ditemui menyokong usaha menyelesaikan perkara berkenaan.
“Perkara ini harus disiasat. Siapa yang melakukannya dan apa puncanya perlu dikenal pasti. Pihak berkuasa perlu siasat bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku kerana sepatutnya ia tidak terjadi,” kata peniaga, Faridah Bibi Mohamad Mydin ketika ditemui RTM, hari ini.
“Kita sebagai rakyat Malaysia dan juga penabung, tempat yang paling dipercayai ialah TH. Sebagai rakyat Malaysia, saya sangat-sangat berharap perkara seperti ini tidak berlaku lagi,” kata orang awam, Anita Mohamed.
“Saya sekeluarga, lima orang semuanya merupakan penyimpan TH. Berkenaan titah Yang di-Pertuan Agong, saya rasa ia satu perkara yang baik dan titah Baginda perlu kita patuhi,” kata orang awam, Nor Nazri Nor Mohamed.
Pada Sabtu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Pertemuan itu menyaksikan Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai laporan berkenaan.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar siasatan dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’ bagi memastikan setiap pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.