Sistem pengangkutan negara lancar – PM

Perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Kementerian Pengangkutan

PUTRAJAYA 9 April – Sistem pengangkutan negara lancar meskipun kenaikan harga minyak susulan konflik Asia Barat memberi kesan kepada rangkaian bekalan disebabkan peningkatan premium risiko global dan kos logistik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Krisis global seperti isu minyak, pertanian dan rantaian bekalan memberi impak langsung kepada sektor pengangkutan.
  • Kementerian Pengangkutan memikul amanah besar; perubahan dan kecekapan perlu menjamin kelangsungan hidup rakyat serta prestasi ekonomi.
  • Malaysia berada dalam kedudukan baik melalui hubungan antarabangsa untuk maklumat tepat; semua pihak diminta elak membuat kesimpulan terburu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, setiap krisis global mempunyai kaitan langsung dengan sektor pengangkutan, sama ada melibatkan kos minyak, pertanian mahupun rantaian bekalan negara.

“Setiap krisis pasti menyentuh pengangkutan. Bila kita bicara soal minyak, ia berkait dengan pengangkutan. Bila kos pertanian meningkat, ia juga berkait dengan pengangkutan.

“Jadi keluarga Kementerian Pengangkutan ini harus dilihat sebagai tugas dan amanah yang besar. Ia disokong dengan kecekapan serta perubahan yang kita lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Sektor pengangkutan memainkan peranan menyeluruh dalam kehidupan rakyat kerana digunakan setiap hari tanpa mengira masa, sekali gus menjadikan ia antara sektor paling terkesan dalam sebarang krisis.

Kementerian Pengangkutan memikul amanah besar dalam memastikan perubahan yang dilaksanakan mampu menjamin kelangsungan hidup rakyat serta prestasi ekonomi negara.

Konflik di Asia Barat memberi kesan kepada harga minyak global, meskipun terdapat sedikit penurunan baru-baru ini namun ia bukan jaminan kestabilan jangka panjang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik hasil hubungan antarabangsa dengan pelbagai negara, sekali gus membolehkan kerajaan memperoleh maklumat lebih tepat dalam membuat keputusan.

Dalam pada itu semua pihak turut diingatkan agar tidak membuat kesimpulan terburu-buru berdasarkan maklumat tidak lengkap yang boleh mengelirukan keadaan sebenar.