
PUTRAJAYA, 9 April – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan prestasi penjawat awam sangat baik dan membanggakan dalam mendepani pelbagai cabaran ekonomi ketika ini.
- Jentera pentadbiran bekerja keras menghadapi ketidaktentuan global dan kenaikan kos, melaksanakan penyelesaian dengan segera.
- Perdana Menteri merakam penghargaan kepada warga Kementerian Pengangkutan atas dedikasi memastikan kelancaran pentadbiran dan perkhidmatan.
- Kerajaan proaktif merangka dasar; mesyuarat berkaitan diadakan berterusan untuk mempercepat tindakan, dilaksanakan berperingkat dan realistik tanpa menjejaskan rakyat.
Meskipun negara berdepan ketidaktentuan global termasuk kenaikan harga barangan seperti bahan api dan baja, jentera pentadbiran kerajaan terus bekerja keras setiap hari bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan segera.
“Walaupun ada kritikan, kita tidak boleh nafi bahawa prestasi penjawat awam negara secara keseluruhannya sangat baik berbanding negara lain.
“Komitmen penjawat awam sebagai luar biasa apabila sanggup bertungkus lumus, malah mampu menyiapkan tugasan dalam tempoh lebih singkat daripada jangkaan asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada warga kementerian khususnya Kementerian Pengangkutan atas dedikasi dan sumbangan mereka dalam memastikan kelancaran pentadbiran serta perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam pada itu beliau juga menegaskan bahawa kerajaan perlu proaktif dalam merangka dasar yang mampu melindungi rakyat.
“Mesyuarat di peringkat Jemaah Menteri serta kementerian berkaitan seperti pengangkutan dan pertanian diadakan secara berterusan bagi mempercepatkan tindakan menangani isu semasa,”katanya lagi.
Bagaimanapun Datuk Seri Anwar mahu setiap langkah penyelesaian perlu dilaksanakan secara berperingkat dan realistik tanpa menjejaskan kepentingan keseluruhan rakyat.