fb fb fb fb fb

Sirul Azhar boleh mohon semakan sabitan hukuman mati - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution Ismail

KUALA LUMPUR, 14 November- Bekas anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar boleh mengemukakan permohonan semakan di mahkamah menerusi peguamnya berkaitan sabitan hukuman mati ke atasnya bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, proses ekstradisi boleh dilakukan sekiranya sabitan hukuman mati berubah kepada hukuman lain seperti penjara sepanjang hayat.

"Langkah itu boleh dipertimbang, memandangkan negara baru saja mengubah hukuman mati mandatori dengan memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah atau hakim. Tetapi hakikatnya, hukuman mati masih lagi wujud cuma elemen mandatori itu sahaja yang berubah.

"Oleh kerana status Sirul Azhar sudah dijatuhkan hukuman, persoalan seterusnya ialah apakah dia melalui peguam boleh memohon agar hukuman ke atasnya itu dapat dikemukakan (semakan)," katanya pada sidang akhbar di bangunan Parlimen.

Mengulas lanjut, beliau berkata, meskipun Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi, namun wujud kekangan tertentu bagi melaksanakan proses berkenaan.

Ia berikutan Australia tidak mengiktiraf dan tidak mengenakan hukuman mati dalam undang-undangnya.

Sementara itu, ditanya sama ada kerajaan menerima permohonan semakan daripada Sirul Azhar, beliau memaklumkan bahawa pihaknya masih tidak mempunyai maklumat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:
Sirul Azhar dibebaskan Mahkamah Tinggi Australia

SITI AISHAH BINTI MD ISA