
IPOH, 16 Mac– Lawatan rasmi ke luar negara, hanya akan dilaksanakan sekiranya ia memberi pulang kepada negeri, khususnya dalam menarik pelaburan dan pelancongan.
- Setiap perbelanjaan akan diteliti untuk memastikan ia selaras dengan usaha penjimatan kerajaan.
- Lawatan berkaitan pelaburan dan pelancongan adalah strategi mempromosikan Perak serta mencari pelabur baharu.
- Penting untuk berjimat cermat, namun jangan sampai penjimatan menyebabkan hilang peluang ekonomi.
- Kerajaan negeri komited kepada perbelanjaan berhemah tanpa menjejaskan agenda pembangunan Perak.
Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Katanya, setiap perbelanjaan akan diteliti bagi memastikan ia selaras dengan usaha penjimatan kerajaan.
Beliau berkata, lawatan yang melibatkan pelaburan dan pelancongan adalah sebahagian daripada strategi mempromosikan Perak di peringkat antarabangsa serta mencari pelabur baharu.
“Kita tidak seperti kerajaan persekutuan.
“Yang mana kita boleh berjimat cermat kita cuba. Tapi kena ingat jangan sampai kita jimat, kita hilang peluang ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak Siri 2 Tahun 2026 di Stadium Indera Mulia di Ipoh.
Mengulas lanjut katanya kerajaan negeri sebelum ini menekankan komitmen terhadap perbelanjaan berhemah tanpa menjejaskan agenda pembangunan Perak.