
KUALA LUMPUR, 5 September – Kualiti udara di Serian, Sarawak masih berada pada tahap berbahaya setakat 10 pagi tadi, dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), 334.
- Kuching, Sri Aman dan Samarahan catat IPU sangat tidak sihat, masing-masing 267, 260 dan 259.
- 26 stesen rekod IPU tidak sihat di Sarawak, termasuk Samalaju, Bintulu, Miri, Mukah, Sarikei, Sibu, Limbang dan Kapit.
- IPU tidak sihat juga dikesan di Sabah, Labuan, Johor, Melaka, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan; 28 kawasan sederhana, 10 baik.
Laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) dalam kemas kini memaklumkan, stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencatatkan bacaan berkenaan.
Sementara itu, tiga kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing, Kuching, Sri Aman dan Samarahan dengan bacaan 267, 260 dan 259.
Manakala, 26 stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan sembilan kawasan di Sarawak iaitu Samalaju dan Bintulu, masing-masing mencatatkan 194, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (186), Mukah (185), Miri (179), Sarikei (178), Sibu (171), Limbang (159) dan Kapit (144).
Di Sabah pula melibatkan tiga kawasan iaitu Kimanis (165), Politeknik Kota Kinabalu (156) dan Kota Kinabalu (135).
Bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Wilayah Persekutuan Labuan (164), tujuh kawasan di Johor iaitu Batu Pahat (157), Tangkak (155), Segamat, Kluang dan Larkin, masing-masing (154), Pasir Gudang (151)dan Kota Tinggi (136).
Di Melaka melibatkan kawasan di Bukit Rambai (155) dan Alor Gajah (108).
Sementara itu, Johan Setia, Selangor mencatatkan bacaan IPU 155, di Rompin dan Balok Baru Kuantan, Pahang pula masing-masing menunjukkan bacaan IPU 147 dan 145, manakala di Nilai, Negeri Sembilan (126).
Dalam pada itu, 28 kawasan di seluruh negara dilaporkan berada pada tahap sederhana manakala 10 kawasan mencatatkan bacaan baik.