Pastikan harga makanan berpatutan, berkualiti – Raja Perlis

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika merasmikan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026/ Foto FB Pejabat SUK Perlis

KANGAR, 5 September – Peniaga di Perlis diminta memastikan harga makanan yang dijual berpatutan bagi menarik lebih ramai pelancong memilih negeri itu sebagai destinasi pelancongan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga diminta memastikan harga makanan berpatutan untuk menarik lebih ramai pelancong
  • Harga dan kualiti makanan perlu diberi perhatian kerana menyumbang kepada pertumbuhan pelancongan dan ekonomi negeri
  • Nasihatkan peniaga jangan menaikkan harga secara tidak berpatutan; untung sedikit tetapi perniagaan lebih lestari
  • Pesta Air mesti dipelihara sebagai warisan Kuala Perlis dan platform mempromosi makanan, kraf, seni budaya serta hasil komuniti

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, aspek harga dan kualiti makanan perlu diberi perhatian memandangkan makanan merupakan antara produk pelancongan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi negeri.

“Saya cukup bimbang. Saya selalu beritahu kepada Yang Berhormat Menteri Besar dan Yang Berhormat lain supaya nasihatlah peniaga-peniaga kita supaya janganlah menaikkan harga yang tidak berpatutan.

“Saya tahu orang pun nak berniaga, nak untung, tetapi biarlah berpatutan. Kerana untung sedikit, berniaga akan tahan lama,” titah baginda ketika merasmikan Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran Kampung Wai, Kuala Perlis.

Sementara itu, Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, penganjuran pesta air berkenaan mempunyai nilai sejarah dan warisan tersendiri yang menjadi sebahagian daripada identiti Kuala Perlis dan wajar dipelihara.

Baginda berharap pesta air itu dapat menjadi platform untuk memperkenalkan makanan, kraf, seni budaya serta hasil komuniti Perlis kepada pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 dianjurkan dalam dua fasa, dengan fasa pertama berlangsung semalam hingga hari ini, manakala fasa kedua dijadualkan dari 18 hingga 20 September.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.