
KUALA LUMPUR, 5 September – Keadaan jerebu dan tempoh perarakan yang dipendekkan antara cabaran utama dihadapi pasukan produksi dalam mengendalikan siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2026.
- Pasukan produksi perlu memaparkan kontinjen, aset dan rakaman persembahan kepada penonton dalam tempoh singkat.
- Penerbit bertanggungjawab bukan hanya kelancaran siaran tetapi menterjemah semangat patriotisme melalui paparan visual.
- Paparan visual ditonjolkan untuk menyampaikan kemegahan kemerdekaan kepada penonton televisyen dan pengguna media sosial.
- Pasukan produksi mengambil kira pelbagai pandangan netizen, berusaha memenuhi permintaan namun tidak semua boleh ditunaikan.
Penerbit Siaran Langsung, Mohd Rafael Ramlan berkata pasukan produksi perlu memastikan kontinjen, aset serta rakaman persembahan dipaparkan kepada penonton dalam tempoh singkat.
Menurutnya, tanggungjawab sebagai penerbit tidak sekadar memastikan kelancaran siaran, malah menterjemahkan semangat patriotisme dan kemegahan sambutan nasional menerusi paparan visual kepada jutaan penonton.
“Tugas ini besar dan berat tetapi kita faham nilai erti merdeka dan sambutan HKHM adalah sesuatu yang besar dan bersifat nasional. Jadi kita cuba garapkan dalam paparan visual.
“Kita tonjolkan kemegahan semangat kemerdekaan yang boleh dirasai dan dinikmati oleh penonton menerusi televisyen dan media sosial,” katanya.
Selain cabaran teknikal, jelas beliau pasukan produksi turut mengambil kira pelbagai pandangan netizen yang mempunyai kehendak dan pilihan berbeza terhadap paparan siaran langsung.
“Netizen ada banyak permintaan dan kecenderungan. Kita berusaha menggarap kesemua yang disuarakan netizen supaya mereka dapat menikmati mengikut cita rasa mereka.
“Walaupun begitu, ada juga netizen rasa tidak berpuas hati. Di pihak penerbit, bagi memenuhi satu permintaan netizen, kami perlu fikir banyak aspek kerana tidak semua permintaan netizen kita boleh tunaikan terutama untuk paparan visual,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.