Semua institusi pendidikan KPM diarah hentikan aktiviti luar serta merta

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diarah menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah secara serta merta, khususnya kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

RINGKASAN BERITA AI
  • Susun semula atau jalankan acara sukan di dalam bangunan demi keselamatan peserta berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara
  • Laksanakan garis panduan pencegahan KPM termasuk menangguhkan aktiviti luar semasa cuaca panas atau berjerebu untuk melindungi kesihatan murid
  • Pastikan bekalan air minuman bersih mencukupi, bekalkan untuk murid asrama dan bekerjasama dengan klinik serta hospital jika berlaku komplikasi

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata arahan tersebut termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan.

“Bagi penganjuran acara sukan yang sedang berlangsung, diarah menyelaraskan semula lokasi pertandingan ke kawasan yang lebih selamat atau dijalankan secara tertutup di dalam bangunan berdasarkan bacaan IPU semasa demi keselamatan dan kesihatan peserta yang bertanding,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPM turut menyarankan semua institusi pendidikan bawahnya melaksanakan lapan langkah pencegahan yang ditetapkan dalam garis panduan kementerian.

“Menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas dan berjerebu, memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan cuaca panas bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas, serta semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan bagi kawasan bacaan IPU melebihi 100,” jelasnya.

Garis panduan itu turut menyatakan semua sekolah dalam kawasan IPU melebihi 200 ditutup serta merta, memastikan bekalan air minuman air bersih mencukupi di institusi pendidikan KPM dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti yang sesuai bagi mengawal suhu badan, serta membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain mendapatkan air minuman.

Selain itu, semua insitusi pendidikan KPM disaran berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu dan cuaca panas.

Institusi pendidikan bawah KPM juga diminta terus peka dan memantau bacaan IPU dan status terkini di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan murid dan pelajar dan warga institusi pendidikan.

KPM komited memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberi keutamaan dari semasa ke semasa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.