
ALOR SETAR, 26 Ogos – Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesan pencemaran udara susulan fenomena jerebu ketika ini.
- Kurangkan aktiviti luar, tinggal di dalam bila boleh, dan hadkan pergerakan sosial anak-anak demi keselamatan.
- Pakai pelitup separuh muka apabila keluar dan lindungi mata daripada pedih akibat jerebu.
- Minum air secukupnya, jaga kesihatan pernafasan, dan berwaspada ketika keadaan udara berjerebu.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Kamarul Azman Khamis berkata antara langkah yang boleh diambil adalah mengelakkan aktiviti luar rumah, memakai pelitup separuh muka dan minum air secukupnya.
“Cuaca tidak menentu dengan ada ketika panas, hujan dan jerebu. Justeru, digalakkan sentiasa berada di dalam rumah, kurangkan aktiviti luar rumah, kurangkan pergerakan sosial buat anak-anak serta banyak minum air kerana ini sumber tenaga.
“Sekiranya perlu keluar rumah, pastikan memakai pelitup separuh muka,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Lubuk Merbau Pedu di sini turut mengambil langkah berwaspada ketika menjalan aktiviti luar susulan fenomena jerebu.
“Keadaan jalan di kawasan ini memang nampak kabus tebal sikit menyebabkan penglihatan tidak berapa jelas dan mata jadi pedih. Jadi, kena pakai pelitup separuh muka ketika lakukan aktiviti luar demi kesihatan,” kata Yazzah Saad, penduduk.
“Pesanan buat seluruh warga kampung ini agar semua dapat menjaga kesihatan memandangkan cuaca agak berjerebu pada waktu pagi. Keadaan udara ini tidak baik untuk kesihatan kita. Semoga kita semua lebih prihatin dan berhati-hati,” ujar seorang lagi penduduk, Mohd Nizam Wahab.