Selangor peruntuk RM130.42 juta perkukuh daya tahan hadapi kesan krisis global

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 16 April – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM130.42 juta bagi melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa Satu susulan kesan krisis tenaga global akibat ketegangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pakej fasa pertama fokus mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi dan memperkukuh keterjaminan makanan.
  • Peruntukan RM10 juta untuk program Jelajah Ehsan Rahmah, dijangka memanfaatkan kira-kira 168,000 isi rumah.
  • RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Gudang Makanan Selangor untuk memastikan bekalan makanan asas kekal stabil.
  • Baucar Kita RM100 sebulan kepada 50,000 penerima, bantuan RM30 sebulan pengangkutan, dan sarapan percuma di 873 sekolah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pakej fasa pertama yang dijadual bermula Jun itu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan kos sara hidup, mengawal inflasi serta memperkukuh keterjaminan makanan.

Menurut beliau, antara inisiatif utama yang dimuktamadkan termasuk peruntukan RM10 juta bagi program Jelajah Ehsan Rahmah yang dijangka memanfaatkan kira-kira 168,000 isi rumah.

Selain itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Gudang Makanan Selangor bagi memastikan bekalan makanan asas kekal stabil di pasaran.

“Kerajaan negeri turut memperkenalkan Baucar Kita Selangor bernilai RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 penerima, membabitkan peruntukan RM30 juta.

“Di samping itu, bantuan RM30 sebulan bagi penggunaan pengangkutan awam juga disediakan bagi meringankan beban rakyat,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Amirudin berkata inisiatif sarapan percuma di 873 sekolah akan dilaksanakan bermula Ogos ini sebagai sebahagian usaha membantu meringankan kos sara hidup keluarga.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kepada pesawah, nelayan, petani serta peniaga kecil bagi menampung peningkatan kos operasi susulan keadaan ekonomi semasa.