RM300 juta disalur perkukuh kebajikan veteran ATM seluruh negara

Jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di daerah Daro dan Matu

DARO, 16 April – Kerajaan memperuntukkan lebih RM300 juta tahun ini bagi memperkukuh kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi pelbagai inisiatif di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Peduli Veteran MADANI 2026 jalankan lawatan kebajikan ke kediaman veteran, memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman seperti Sarawak.
  • Fokus utama: memperkukuh kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan anak veteran, dan pembangunan sosioekonomi.
  • Bantuan tunai: RM500 sebulan untuk veteran tidak berpencen miskin; tambahan RM300 untuk veteran berpencen berpendapatan rendah.
  • Program juga sediakan bantuan pembaikan atau pembinaan rumah, bakul makanan, dan platform maklum balas untuk penambahbaikan inisiatif.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, peruntukan itu merangkumi aspek kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan anak-anak veteran serta pembangunan sosioekonomi golongan berkenaan.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan terus memperkasa agenda kebajikan veteran melalui pelaksanaan Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 yang melibatkan lawatan ke kediaman veteran di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman.

“Program ini antara usaha berterusan kementerian, terutama apabila turun ke kawasan pedalaman seperti di Sarawak yang mempunyai lebih 11,000 veteran ATM.

“Kita juga menghargai peranan Kerajaan Negeri Sarawak yang banyak membantu veteran melalui kerjasama dengan persatuan-persatuan veteran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meneruskan siri jelajah Program Peduli Veteran MADANI (PVM) 2026 di daerah Daro dan Matu, di sini.

Mengulas lanjut, Adly berkata program berkenaan merangkumi lawatan kebajikan ke rumah veteran termasuk balu serta ahli keluarga yang memerlukan perhatian, selain memberi tumpuan kepada keluarga veteran yang mempunyai anak Orang Kurang Upaya (OKU).

Katanya, siri jelajah kali ini melibatkan 11 penerima di daerah Daro yang terdiri daripada veteran ATM serta balu anggota.

Tambah beliau, fokus utama ketika ini adalah memperkukuh aspek kebajikan, kesihatan, perumahan dan sosioekonomi veteran, termasuk bantuan pembaikan serta pembinaan rumah baharu bagi yang layak.

Dalam pada itu, kerajaan turut menyalurkan bantuan sara hidup sebanyak RM500 sebulan kepada veteran tidak berpencen yang berada di bawah garis kemiskinan.

Bagi veteran berpencen berpendapatan rendah pula, bantuan tambahan RM300 disediakan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Selain itu, kementerian turut menyumbang 100 bakul makanan kepada persatuan veteran sebagai sebahagian usaha membantu kos sara hidup golongan berkenaan.

Pada masa sama, Adly berkata Program PVM MADANI berperanan sebagai platform mendapatkan maklum balas secara langsung daripada veteran, sekali gus menambah baik pelaksanaan inisiatif sedia ada.

Beliau menambah, usaha itu juga penting bagi memastikan veteran yang menamatkan perkhidmatan seawal usia 40 tahun dapat meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin melalui peluang kerjaya kedua.