KUALA LUMPUR, 3 September – Sambutan Hari Malaysia 2025 bakal berlangsung dengan penuh warna-warni pada 16 September ini di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang.
Acara berprestij itu membawa mesej perpaduan, kemajuan dan keharmonian selaras dengan tema Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran, ketika ini persiapan sedang giat dijalankan bagi memastikan kelancaran acara sambutan.
"Sambutan ini akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Perdana Menteri, Premier Sarawak, Ketua Menteri Sabah dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Jadi beberapa sesi raptai akan dijalankan untuk memastikan semua dalam keadaan yang baik, sebelum majlis itu berjalan pada 16 september nanti," katanya.
Mengulas tentang pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah, beliau menjelaskan, ia selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020 yang menetapkan bahawa sambutan Hari Malaysia akan diadakan secara bergilir-gilir di seluruh negeri.
“Tahun 2022 kita adakan di Melaka, 2023 di Sarawak, dan 2024 di Sabah. Tahun ini, kita kembali ke Semenanjung dan memilih Pulau Pinang. Selain menzahirkan semangat kebangsaan, ia juga sebagai usaha mengangkat Pulau Pinang sebagai destinasi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Menariknya, sambutan kali ini turut menampilkan pengisian acara yang dibahagikan kepada lima segmen utama.
Segmen pertama akan menonjolkan elemen identiti dan warisan yang merangkumi budaya Melayu, Cina, India serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Segmen kedua pula menampilkan nilai perpaduan budaya, segmen ketiga muzik dan tarian baharu khas untuk golongan muda, manakala segmen keempat berupa gabungan artis popular tanah air bersama persembahan tarian rakyat dan iringan orkestra tradisional.
"Segmen kelima pula ialah kemuncak Extravaganza yang menghimpunkan semua elemen dalam satu persembahan besar, bagi menzahirkan semangat perpaduan keharmonian dan cintakan tanah air,” jelasnya lagi.
Antara mesej utama yang ingin disampaikan dalam sambutan kali ini adalah bahawa Malaysia MADANI ialah sebuah rumah besar yang menyantuni rakyatnya melalui nilai budaya, perpaduan, kemajuan dan keharmonian.
Turut diketengahkan, lima kumpulan utama dalam persembahan kebudayaan khas, yang bergabung untuk menonjolkan kekayaan budaya Malaysia.
Kumpulan yang terlibata adalah Bimbingan Seni Cemerlang Pulau Pinang yang terkenal dengan persembahan Boria, Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kumpulan Kebudayaan SUK Pulau Pinang, serta kumpulan kebudayaan masyarakat Cina dan India dari negeri itu.
"Dalam persembahan khas kebudayaan ini, kita ada lebih kurang 5 kumpulan yang telah yang akan err menonjolkan tarian-tarian atau tradisi tertentu."
“Gabungan semua ini akan menampilkan satu ekstravaganza kebudayaan Malaysia yang akan menjadi tarikan utama kepada semua yang hadir.”
Sambutan Hari Malaysia tahun ini dijangka bukan sahaja menjadi acara kenegaraan yang penting, malah turut berperanan sebagai pentas memperkukuh identiti nasional, memperlihatkan kekayaan warisan negara serta menzahirkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia sejak sekian lama.
"Mesej yang kita nak bawa untuk sambutan Hari Malaysia 2025 ini adalah, Malaysia Madani ibarat sebuah rumah besar yang menyantuni rakyatnya melalui nilai budaya perpaduan, kemajuan dan keharmonian," ujarnya dalam sesi temubual menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1.