
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kerajaan mencadangkan pindaan kepada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bagi memperluas bidang kuasa luar wilayah untuk membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak walaupun kesalahan dilakukan di luar negara.
- Pindaan Seksyen 3 meluaskan bidang kuasa kepada pemastautin tetap dan individu lazim bermastautin, bukan sahaja warganegara.
- Tujuan memastikan perlindungan undang-undang yang lebih menyeluruh, tegas, moden dan berkesan terhadap eksploitasi seksual kanak-kanak.
- Peningkatan laporan CSAM menunjukkan ancaman digital berkembang melalui platform tertutup, penyulitan, identiti palsu dan operasi rentas negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pindaan itu bertujuan memastikan Malaysia tidak berdepan kekangan bidang kuasa dalam melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual rentas sempadan.
Menurut beliau, pindaan terhadap Seksyen 3 Akta 792 akan memperluas bidang kuasa yang ketika ini hanya terpakai kepada kesalahan dilakukan di luar negara oleh warganegara Malaysia.
“Pindaan yang dicadangkan akan memastikan bahawa Akta ini bukan sahaja terpakai kepada warganegara Malaysia yang melakukan kesalahan di luar negara, malah turut meliputi pemastautin tetap Malaysia serta individu yang lazim bermastautin di Malaysia.
Pendekatan ini akan memastikan perlindungan undang-undang yang lebih menyeluruh serta selaras sifat jenayah seksual terhadap kanak-kanak merentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Berdasarkan data Internet Watch Foundation yang dilaporkan pada 2025, sebanyak 16,238 laporan bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) membabitkan kanak-kanak Malaysia direkodkan pada 2024, meningkat lebih 225 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 12,656 laporan direkodkan,” katanya lagi.
Peningkatan itu menunjukkan ancaman terhadap kanak-kanak bukan lagi terhad kepada ruang fizikal, malah semakin berkembang dalam persekitaran digital melalui penggunaan platform tertutup, teknologi penyulitan, identiti palsu serta operasi rentas negara yang menyukarkan pengesanan dan pendakwaan.
Tegasnya, pindaan itu mesej jelas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk eksploitasi seksual melibatkan kanak-kanak, selain memastikan perlindungan undang-undang yang lebih tegas, moden dan berkesan.