
KUALA TERENGGANU, 29 Jun – Penyeragaman harga diesel kepada RM2.10 seliter mulai 1 Julai ini dijangka mampu meningkatkan produktiviti nelayan tempatan sekali gus memberi kesan positif terhadap hasil tangkapan dan pendapatan mereka.
- Penyeragaman harga diesel dijangka meningkatkan produktiviti nelayan C2 laut dalam, seterusnya menaikkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka.
- Langkah ini dijangka menggalakkan pengusaha bot C2 yang kurang aktif untuk kembali turun ke laut.
- Bantuan peralatan melalui Program Touchpoint termasuk GPS, echo sounder, pukat, kawat bubu dan enjin sangkut meningkatkan kapasiti operasi nelayan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan penyeragaman harga diesel turut dinikmati nelayan terutamanya bot C2.
“Tambahan pula sekarang ini musim ikan sedang banyak, jadi ini peluang untuk mereka meningkatkan hasil tangkapan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Rahmah Mesra MADANI bersama Nelayan di sini, hari ini.
Dalam program itu, seramai 40 nelayan di Terengganu menerima bantuan peralatan menangkap ikan bernilai RM225,000 menerusi Program Touchpoint Belanjawan 2026.
Antara peralatan yang disalurkan termasuk sistem GPS, alat pengesan ikan (echo sounder), pukat, kawat bubu dan enjin sangkut.
Sehingga pertengahan tahun ini, sebanyak RM3 juta peruntukan menerusi Program Touchpoint telah selesai diagihkan kepada penerima di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata tiada rekod penglibatan pendatang asing dalam aktiviti perikanan tradisional di Terengganu.
Katanya, semua nelayan tempatan berdaftar sentiasa dipantau menerusi sistem pelesenan, penjualan diesel bersubsidi serta pemantauan persatuan nelayan.
Bagi vesel laut dalam yang menggunakan kru warga asing pula, beliau menjelaskan mereka hanya dibenarkan bekerja mengikut syarat permit yang ditetapkan dan tidak dibenarkan turun ke darat.